'Siapa kata kami tak cuba sebelum ini' - Siti Nurhaliza

Madiha Abdullah
Oktober 13, 2017 23:59 MYT
Tatkala ditanya tentang kemungkinan mewujudkan akaun Instagram atau program televisyen, Siti hanya ketawa dan memberitahu, ia belum ada dalam perancangan. - Foto Instagram @CTDK
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan dia tidak berusaha untuk mendapatkan cahaya mata sebelum ini.
Sebaliknya, rezeki kehamilannya kali ini adalah cubaan kali ketiga.
"Tiga kali kami melalui prosedur untuk mendapatkan cahaya mata. Alhamdulillah, kali ini ia membuahkan hasil.
"Saya menafikan dakwaan kami tidak mencuba. Hanya Allah tahu perasaan kami selepas dua kali gagal," kata Siti yang pernah hamil secara normal sebelum, namun mengalami keguguran ketika usia kandungan dua bulan.
BACA: Sah! Siti Nurhaliza hamil
BACA: Siti Nurhaliza masih berahsia ...
Ditanya tentang alahan, kata Siti, dia juga mengalami alahan yang agak teruk, antaranya mual dan kulit wajah menjadi sensitif.
"Tetapi saya terima dengan hati terbuka kerana inilah yang saya mahukan selama ini," katanya yang tidak lepas dari mengukir senyuman ketika sidang media khas itu berlangsung.
Demi menjaga kandungannya, Siti mendedahkan, dia hanya berkurung dalam bilik dan jarang turun ke tingkat bawah rumah.
"Memang pelik rasanya sebab saya dah biasa bekerja. Tapi bila mengandung, nak keluar bilik pun tak boleh.
"Tapi tak mengapa, pengorbanan itu terlalu kecil kalau nak dibandingkan dengan kurniaan yang diberi," ujarnya.
Tatkala ditanya tentang kemungkinan mewujudkan akaun Instagram atau program televisyen, Siti hanya ketawa dan memberitahu, ia belum ada dalam perancangan.
Siti malam ini mengumumkan kehamilannya, selepas 11 tahun usia perkahwinannya dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
#Allah #hamil #Instagram #Khalid Jiwa #Siti Nurhaliza #spekulasi
;