Siap beraksi di arena lebih besar, konsert Berona Day Rizky Febian pada 3 November

Faida Rahim
September 5, 2023 16:51 MYT
Rizky memaklumkan persembahan berdurasi lebih dua jam itu merupakan konsert untuk mempromosikan albumnya yang berjudul Berona.
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal Indonesia, Rizky Febian teruja dapat kembali mengadakan konsert buat kali kedua pada 3 November depan.
Rizky ketika ditemui Astro AWANI memberitahu beberapa kejutan akan dilakukan di konsert yang bakal berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
“Ini merupakan konsert saya yang kedua di negara ini selepas pada Julai lalu terbabit sebagai penyanyi undangan untuk konsert Rossa.
“Sebelum ini, tiket konsert pertama saya di Zepp Kuala Lumpur habis dijual dalam masa sehari, jadi kali ini diadakan di lokasi lebih besar di Megastar Arena dengan kapasiti 5,000 penonton,” katanya di sidang media konsert An Album Live Concert Berona Day di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur.
Penyanyi berusia 25 tahun itu memaklumkan persembahan berdurasi lebih dua jam berkenaan merupakan konsert untuk mempromosikan albumnya yang berjudul Berona.
“Saya baru sahaja melancarkan album kedua berjudul Berona pada 21 Julai lalu. Album ini mengandungi 10 lagu baharu hasil kolaborasi tiga pemuzik Indonesia iaitu Gangga, Teddy Adhitya dan Basboi.
“Tujuan utama konsert ini diadakan untuk memperkenalkan, mempromosikan dan bertemu dengan para peminat di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, tiket konsert anjuran Hitman Solutions ini mula dijual pada harga bermula RM179 (Romansa – Free Standing), RM199 (Terpesona – Normal Seating) dan RM399 (Super Rizfelous – VIP Standing) menerusi www.hitmanlive.com.
#Rizky Febian #konsert #penyanyi #Indonesia
;