'Shuib terharu dapat sentuh, kucup Ayash' - pesan Siti Sarah agar jaga zuriat jadi anak soleh
September 14, 2021 16:36 MYT
SELEBRITI Shuib Sepahtu bersyukur kerana akhirnya dapat mengucup anak bongsunya, Ayash Affan.
Selepas kehilangan isteri kesayangan, Shuib yang juga bergelar usahawan berjaya, meluahkan rasa gembira apabila dapat bertemu dengan permata hati keempatnya, Ayash.
Walaupun sambutan ulang tahun kelahiran kali ini berbeza, namun Shuib memanjatkan rasa bersyukur dapat menyentuh dan mengucup anak bongsunya itu.
“Alhamdulillah… di hari kelahiran, Allah hadiahkan berita gembira. Dah boleh ke hospital tengok Ayash Affan.
“Ia akan jadi hari pertama melihat dan menyentuh Ayash Affan,” luah Shuib melalui Insta Story miliknya.
Ayash ketika ini masih ditempatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia di ibu negara selepas dilahirkan tidak cukup bulan pada 6 Ogos lalu.
Dalam hantaran berbeza, Shuib, 36, berkata, dia teringat kata-kata yang berulang kali diucap isterinya itu ketika mengandungkan Ayash.
“Masih ingat lagi ibu (Siti Sarah) selalu cakap benda yang sama berulang kali ‘baby keempat ini you jaga dia tau, you jaga okay”
“Insya-Allah sayang. I akan jaga dia macam mana I jaga you sampailah dia jadi anak yang soleh, anak yang akan menjadi kebanggaan you dunia dan akhirat,” luahnya.
Siti Sarah Raissuddin, 36, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 9 Ogos lalu di HCTM akibat jangkitan COVID-19.
Sebelum itu, Allahyarham telah menjalani pembedahan tanpa sedar bagi melahirkan Ayash ketika kandungannya berusia lapan bulan.