Showcase The A.C.A.B. selepas 18 tahun bakal gamit nostalgia
Faida Rahim
Mei 27, 2024 22:27 MYT
Mei 27, 2024 22:27 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas 18 tahun berehat, The A.C.A.B Kembali dalam sebuah showcase mempersembahkan lagu dalam satu-satunya album dan barisan anggota asal menerusi This Is The A.C.A.B - Indie Nostalgic Showcase 2024 di Auditorium Muzik Bentley, Mutiara Damansara.
Showcase yang bakal diadakan pada 1 Jun bermula jam 8.30 malam, The A.C.A.B tampil dengan anggota asal iaitu Megat Hafiz atau Max selaku vokalis dan gitar utama, Edy (gitar), Irfan (dram) dan Mono (bes).
Dalam pada itu, showcase ini bakal menjadi momen istimewa buat The A.C.A.B, apatah lagi sudah lama menyimpan keinginan bertemu pengikut setia muzik mereka.
"Kami berharap peminat dapat berkumpul untuk mengimbau nostalgia bersama lagu-lagu popular The A.C.A.B. Inilah masanya untuk berkumpul semula kerana showcase ini akan diadakan hanya satu malam sahaja.
"Kami bersyukur tiket 'early bird' sudah habis dijual," ujar Max yang mewakili The A.C.A.B yang juga penganjur showcase ini.
A.C.A.B ditubuhkan pada penghujung 1994 dikenali sebagai kumpulan skinhead dan Oi! Malaysia yang terawal.
Bagaimanapun, perjuangan terhenti apabila Max melanjutkan pelajaran di London.
Sekembalinya ke tanah air pada 2005, Max berkumpul semula bersama rakan-rakannya dan menubuhkan The A.C.A.B.
The A.C.A.B. berjaya merakam album Indie berjudul This Is The A.C.A.B pada 2005 seterusnya pernah menjadi album terlaris di Malaysia dalam Carta RIM pada 2006.
Kumpulan ini berjaya memberi impak kepada dunia muzik Indie Malaysia dengan muncul dalam Konsert Rock The World pada 2006 dan 2007.