Shila Amzah, Ubai timang cahaya mata perempuan
Sinar Harian
Mei 9, 2024 07:40 MYT
Mei 9, 2024 07:40 MYT
PENYANYI popular, Shila Amzah selamat melahirkan bayi perempuan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Khamis.
Berita gembira itu dikongsikan suaminya yang juga pempengaruh media sosial, Ubai MZ menerusi akaun Instagram miliknya.
“Alhamdulillah, isteri saya sudah selamat bersalin. Gugur air mata dan sebak melihat isteri bertarung nyawa demi cahaya mata tercinta.
“Pengalaman pertama kali melaungkan azan pada cahaya mata kami, sungguh luar biasa. Perasaan yang tak dapat saya ungkapkan,” kongsinya.
Dalam hantaran sama, Ubai turut meluahkan rasa hati mengenai arwah ibunya, Rohani Jamal yang meninggal dunia akibat kanser ovari pada Julai tahun lalu pasti gembira dengan kelahiran cucu sulungnya itu.
Malah Ubai juga turut berkongsi nama puteri pertamanya.
“Cucu pertama arwah mak dah selamat dilahirkan. Mesti arwah mak gembira. Takdir dan perancangan Allah itu sangat hebat.
“Akan kami jaga sehabis baik amanah dan rezeki yang KAU berikan ini.
“Assalamualaikum puteriku, Rhea Akira,” tulisnya.
Sementara Shila dalam hantaran terbaharu memberitahu dia sentiasa bersangka baik dengan perancangan yang telah ditetapkan Allah SWT.
Akui penyanyi Jauh Hati itu, dia sememangnya mengimpikan untuk bersalin secara normal selepas melalui kelahiran secara pembedahan ketika melahirkan anak sulungnya lima tahun lalu.
“Alhamdulillah, bayi perempuan kami sudah lahir. Saya sentiasa percaya pada ketentuan Allah SWT, lebih dari segalanya.
“Terima kasih atas segala doa dan ucapan. Saya doakan yang sudah lama menanti akan ditiupkan benih zuriat di dalam rahim kalian,” katanya.
Sekadar info, Shila mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada 4 Ogos 2023.
Terdahulu Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Edraki pada 2018, namun berakhir dengan perceraian.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia 5 tahun. - Sinar Harian