Shila Amzah terpalit kontroversi kerana busana di final 'I Am Singer'
Astro Awani
April 21, 2014 18:49 MYT
April 21, 2014 18:49 MYT
KUALA LUMPUR: Shila Amzah mengakui mengalami masalah busana semasa berlangsungnya konsert 'I Am A Singer' bulan lalu.
Kesuntukan masa memaksa penyanyi itu untuk meneruskan rakaman tanpa menyangka ia akan mencetuskan kontroversi.
Shila ditimpa kontroversi apabila mengenakan pakaian yang menampakkan bentuk kakinya sewaktu konsert tersebut.
Foto Shila di final "I Am Singer" yang menimbulkan kontroversi.
Celana hitam yang dipakai pada mulanya terkoyak memaksanya mengenakan celana berwarna seakan kulit kerana tidak mahu melengahkan waktu penggambaran.
Enggan membesarkan insiden tersebut, dia bersyukur peminatnya di China dan Malaysia sentiasa memahami dan terus menyokongnya.
Shila ditemui pada majlis sidang media Shila Amzah Love di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Setelah muncul dalam program I Am Singer di China, Shila Amzah mengakui sudah jatuh cinta dengan industri nyanyian di sana.
Baginya ia ibarat satu fenomena melihat kepada sokongan peminat di China dan Malaysia yang berterusan dan tidak berbelah bagi.
Kerjaya nyanyian Shila di China bermula apabila dia menyertai rancangan realiti terbesar di negara itu pada 2012 iaitu Asian Wave sehingga dinobatkan sebagai juara.
Dia kemudian mengorak langkah dengan menyertai pertandingan nyanyian I Am Singer lantas mengukuhkan namanya sebagai salah seorang penyanyi asia berpengaruh.
Penyanyi yang mula bergiat dalam industri seni sejak berusia 10 tahun itu juga bersyukur peminatnya tidak pernah mengenal batas bahasa dan terus memberikan respon positif.
Komited untuk terus melebarkan sayapnya di negara asia lain termasuk Hong Kong dan Taiwan, Shila bakal mengadakan konsert sulungnya 'Shila Amzah Love' di China pada Ogos dan di Malaysia pada 13 September ini.
Tiket bagi konsert Shila Amzah Love dijual dari harga RM88 dan bakal berlangsung di Mega Star Arena.
Belajar berdikari semasa di China, pertandingan tersebut banyak memberi cabaran pada dirinya yang ketika itu tidak fasih berbahasa Mandarin.