Shila Amzah, Jaclyn Victor, Tomok antara peserta Gegar Vaganza musim baharu

Astro Awani
September 6, 2022 20:49 MYT
Dari kiri Shila Amzah, Tomok dan Jaclyn Victor antara penyanyi yang akan bersaing di Gegar Vaganza musim kesembilan.
KUALA LUMPUR: Bermula 18 September ini, program hiburan popular, Gegar Vaganza terbitan Astro bakal kembali bersiaran dengan menampilkan 12 penyanyi solo dan sebuah kumpulan masyhur bersaing merebut kedudukan.
Persaingan sengit dijangka dilihat dalam Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) berikutan senarai penyanyi yang memilih untuk menyahut cabaran dalam gelanggang ini bukan calang-calang.
Berada dalam senarai 12 penyanyi solo yang menjadi pilihan ke GV9 ialah Shila Amzah, Jaclyn Victor, Tomok (Newboyz), Dina Nadzir dan Bob Yusof.
Penyanyi solo lain yang turut disenaraikan oleh Astro dalam usaha merebut tempat dalam GV9 ialah vokalis kumpulan Def-Gab-C, Asheed, Fuad Rahman (Singapura), Hazrul Nizam, Roy Kapilla, Haida, Pat Candy dan Tom.
Sementara satu-satunya peserta berkumpulan yang tersenarai sebagai peserta GV9 ialah kumpulan VE yang dibarisi oleh Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.
Sementara itu, pada pengumuman penerbitan GV9 oleh Astro sebentar tadi juga, program berkenaan juga akan mengekalkan tiga pengkritik masyhur yang terdiri daripada maestro tersohor, Datuk Ramli MS; biduanita dari Indonesia Hetty Koes Endang dan pensyarah serta penghibur Datuk Syafinaz Selamat.
Sementara itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, musim baharu GV terus berusaha menampilkan peserta-peserta yang memiliki bakat luar biasa sebagai meneruskan kegemilangan musim-musim sebelum ini.
Menurut Raqim, Astro sangat berbangga kerana dapat menarik perhatian nama-nama besar penyanyi tanah air untuk bertanding di sebuah platform yang sudah terbukti kemasyhurannya.
“Ternyata GV menunjukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk peminat tetapi juga artis-artis sedia ada. GV masih jadi platform untuk barisan penyanyi mengukir nama mereka semula,” kata Raqim dalam sidang media.
GV9 yang akan mula bersiaran 18 September ini dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad sebagai pengacara.
Juara program ini akan membawa pulang wang tunai RM100,000 sementara naib juara ditawarkan RM50,000 sementara pemenang tempat ketiga akan dihadiahkan RM30,000.
Penyanyi-penyanyi seperti sebelum ini ialah Ayai (Ilusi), Siti Nordiana, Azharina, Datuk Aishah, Noryn Aziz, Naqiu, Hady Mirza, Cliff Umar dan Aliff Aziz merupakan mereka yang pernah menjadi juara GV dalam musim-musim sebelum ini.
Senarai peserta GV9:
1) Shila Hamzah
2) Jaclyn Victor
3) Tomok (Newboyz)
4) Dina Nadzir
5) Bob Yusof.
6) Asheed
7) Fuad Rahman
8) Hazrul Nizam
9) Roy Kapilla
10) Haida
11) Pat Candy
12) Tom
13) Kumpulan VE (Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim)
#Gegar Vaganza #Shila Hamzah #Jaclyn Victor #Tomok
;