Shiha Zikir dedah kos pembikinan video muzik 'Tum Tum Raya' cecah ratusan ribu ringgit
Faida Rahim
Mac 12, 2025 12:40 MYT
Mac 12, 2025 12:40 MYT
Shiha ketika ditemui Astro AWANI pada majlis pelancaran single 'Tum Tum Raya' lebih selesa untuk tidak berkongsi kos pembikinan video muzik secara terperinci. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pertama kali melancarkan lagu duet raya bersama kakak, Ieda Zikir, penyanyi Shiha Zikir sanggup mengeluarkan kos mencecah ratusan ribu ringgit untuk menghasilkan video muzik termasuk kempen mempromosikan "Tum Tum Raya".
Ringkasan AI
- Shiha Zikir mengeluarkan kos ratusan ribu ringgit untuk video muzik "Tum Tum Raya" dan kempen promosi.
- Proses penggambaran video muzik ini mencabar dengan tarian pelbagai rentak, termasuk gerakan slow motion.
- "Tum Tum Raya" dihasilkan dengan kerjasama beberapa pihak dan diilhamkan dari pemerhatian Shiha terhadap lagu-lagu catchy di TikTok.
Bagaimanapun, Shiha ketika ditemui Astro AWANI di majlis pelancaran single "Tum Tum Raya" lebih selesa untuk tidak berkongsi jumlah angka secara terperinci video muzik lagu ciptaan Ajay Amai, Napie Hassan dan Shiha sendiri.
"Ini antara muzik video termahal yang pernah dihasilkan. Banyak usaha kami dah letak untuk jayakan muzik video 'Tum Tum Raya' dan salah satu cabaran yang susah.
"Antaranya rentak tarian yang pelbagai dalam muzik video ini. Ada yang laju, ada yang perlu gerakan slow motion.
"Sekitar 50 peratus gerakan yang sangat perlahan bukan satu benda yang senang sebab menari kena perlahan sambil mulut menyanyi.
"Mula penggambaran dari pukul 8 pagi dan berakhir jam 6 pagi keesokannya, alhamdulillah hasilnya saya dapat apa yang saya mahukan," katanya.
Menurut penyanyi lagu "Kalam" itu, video muzik "Tum Tum Raya" turut mendapat kerjasama beberapa pihak antaranya pasar raya Giant Malaysia, Kimball & SF Biscuit.
Tambah penyanyi berusia 38 tahun ini, "Tum Tum Raya" memiliki keistimewaan sendiri malah proses pembikinan muzik video juga unik kerana diubah suai beberapa kali mengikut keselesaannya.
Shiha menjelaskan, idea untuk menghasilkan "Tum Tum Raya" tercetus melalui pemerhatiannya kepada segelintir pengguna Tik Tok yang cenderung dengan irama catchy.
"Bila buka TikTok, kebanyakan lagu latar jadi pilihan lagu-lagu catchy. Jadi saya fikir, kenapa tidak saya cuba untuk tampil dengan lagu raya berirama yang menepati selera ramai pendengar," katanya.
Sementara itu, Shiha atau nama sebenarnya Nurshiha Mohd Zikir berharap "Tum Tum Raya" bakal menarik perhatian ramai sekali gus menjadi halwa telinga bukan sahaja masyarakat melayu malah semua bangsa sempena lebaran tidak lama lagi.