Shiha jawab dakwaan tidak dihargai di negara sendiri

Gempak
Jun 26, 2016 18:00 MYT
Shiha tidak dihargai di negara sendiri? - Gambar Astro GEMPAK
SEEMNJAK menyertai pertandingan D' Academy Asia (DAA) di negara Indonesia, bakat nyanyian yang dimiliki oleh Shiha Zikir mula mendapat perhatian.

Lebih menyerlah di persada seni negara seberang, Shiha menjawab dakwaan yang mengatakan dia tidak dihargai di negara sendiri.

"Alhamdulillah, saya sendiri menyedari, semenjak saya menyertai DAA, segalanya dipermudahkan. Saya mendapat perhatian di Indonesia.

"Saya tak mahu beranggapan yang saya tak dihargai di negara sendiri kerana masih ramai lagi yang menyokong saya. Ketika sedang bertanding di Indonesia, ramai rakan-rakan Malaysia yang sanggup terbang ke Jakarta bagi menyaksikan saya di sana serta memberikan dorongan.

"Bagi saya, bukan soal tidak dihargai, tetapi semuanya bergantung kepada rezeki. Mungkin dulu rezeki belum berpihak kepada saya, sekarang perlahan-lahan perkara itu datang sendiri. Apa yang penting, saya tak pernah berhenti berusaha.

"Selepas DAA juga, saya turut mula mendapat perhatian di Malaysia dan single terbaru saya juga mendapat sambutan yang menggalakkan," kata Shiha ketika ditemui di majlis pelancaran single Seperti Novel Cinta di Nu Sentral pada Jumaat.

Menerusi lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai itu, ramai yang beranggapan ianya merupakan single pertama Shiha.

"Ramai salah sangka dan menganggap itu merupakan buah tangan sulung saya. Sebelum ini saya pernah muncul dengan lima single tetapi rezeki tidak berpihak kepada saya.

"Syukur kerana lagu Seperti Novel Cinta mula menerima sambutan yang memberangsangkan dan saya berharap semua pihak dapat menerima lagu ini," katanya.

#Ajai #D'Academy Asia #Shiha
;