Sheila Majid kecam tindakan biadab Matty Healy, ramai pihak tanggung rugi

Hilmi Malik
Julai 22, 2023 20:38 MYT
SHEILA: "Disebabkan tindakan bodoh itu, ramai lagi penghibur lain tidak dapat teruskan persembahan walaupun terbang jauh dari negara luar."
KUALA LUMPUR : Penyanyi legenda tanah air, Datuk Sheila Majid mengecam tindakan vokalis The 1975, Matty Healy yang telah berkelakuan biadab sewaktu konsert Good Vibes Festival.
Sheila yang juga terkenal dengan gelaran Ratu Jazz Malaysia itu menyifatkan tindakan vokalis berkenaan telah mengundang kerugian ramai pihak.
“Ramai pihak telah alami kerugian termasuk krew produksi, pemuzik, dan ramai lagi gara-gara tindakan biadab dan pentingkan diri (Matty Healy).
“Dia (Matty Healy) sepatutnya sedar kerana acara ini makan masa yang lama untuk dilaksanakan, ini tidak termasuk lagi mereka yang telah membeli tiket untuk saksikan persembahan band yang lain.
“Populariti bukan tiket untuk seseorang itu berkelakuan biadap di khalayak ramai,” tegasnya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram pada Sabtu.
Ujarnya lagi, penyanyi tersebut seharusnya menumpukan kepada aspek persembahan berbanding menekankan soal pendirian mereka terhadap hubungan sejenis.
Tindakan kurang sopan itu secara tidak langsung telah menjejaskan beberapa persembahan lain yang ketika ini terpaksa dihentikan gara-gara perbuatan yang tidak bermoral itu.
Sheila berpendapat, kelakuan seumpama itu menjadi punca industri muzik tanah air dipandang serong umpama ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’.
“Disebabkan tindakan bodoh itu, ramai lagi penghibur lain tidak dapat teruskan persembahan walaupun terbang jauh dari negara luar untuk tiba di acara ini.
“Insiden ini perlu jadi pengajaran buat seluruh penggiat seni, kita perlu hormat undang-undang sesebuah negara.
“Fikir sebelum bertindak kerana ini bukan soal pendirian peribadi semata-mata,” katanya lagi.
Dalam konsert itu, Healy dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.
Malah, Healy juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.
Terdahulu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) membuat laporan polis terhadap vokalis kumpulan The 1975 dan penganjur persembahan Good Vibes Festival atas kecuaian serta kegagalan mematuhi syarat-syarat ditetapkan JK-PUSPAL.
Laporan itu dibuat menerusi JK-PUSPAL susulan tindakan jelik dan kurang sopan yang dilakukan vokalis kumpulan itu, Matty Healy, ketika melakukan persembahan di Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.
#konsert #sheila majid #Matty Healy #Biadap #good vibes festival
;