Sharnaaz kecewa, tapi hormati mahkamah

Sinar Harian
Oktober 31, 2023 18:47 MYT
Pelakon Sharnaaz Ahmad atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, hadir di Mahkamah Majistret hari ini. - Foto Bernama
PELAKON Sharnaaz Ahmad menyatakan rasa kekecewaannya selepas prosiding kes untuk status representasi bagi menggugurkan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, ditangguhkan ke 17 November depan.
Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, berkata, banyak perancangannya tergendala kerana kes yang dihadapinya, memakan masa lebih setahun.
Selain itu, bapa kepada seorang anak itu berkata, kes berkenaan menyebabkan namanya timbul dalam ‘sistem amaran’ antaranya membabitkan prosedur bank.
“Kerja dan perniagaan saya tertangguh, benda ini terjadi bukan sebab saya yang minta, apakan daya, kita kena ikut undang-undang.
“Bagaimanapun, saya menghormati sistem perundangan di Malaysia,” katanya ketika ditemui sebaik selesai prosiding di mahkamah pada Selasa.
Dalam prosiding itu, Sharnaaz diwakili peguam, Mohamed Baharuden Mohamed Ariff, Datuk Wan Azmir Wan Majid dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Pada 2 Mei lalu, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan yang juga penghuni di sebuah kondominium.
Pelakon drama bersiri 'Bukan Kerana Aku Tak Cinta' itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada jam 8.30 malam, 16 Jun 2022.
Bagaimanapun, Mahkamah Majistret di sini menangguhkan keputusan representasi itu ke prosiding akan datang, pada 17 November depan.
Ini kerana kertas siasatan kes berkenaan berada ibu pejabat Jabatan Peguam Negara, malah ia masih di peringkat pertimbangan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Sharnaaz Ahmad #prosiding ditangguh #cederakan pengawal keselamatan #status representasi #gugur pertuduhan
;