Sharnaaz Ahmad anggap Noor Nabila wanita kuat

Gempak
September 26, 2023 11:32 MYT
Sharnaaz Ahmad menganggap bekas isterinya, Noor Nabila yang juga ibu kepada anak kandung mereka Jebat Jayden seorang wanita yang kuat dalam mengharungi dugaan rumah tangga.
PELAKON Sharnaaz Ahmad menyifatkan bekas isterinya iaitu Noor Nabila seorang wanita yang kuat terutama dalam mengharungi ujian hidup apabila buat kali ketiga gagal dalam alam perkahwinan.
Sharnaaz, bagaimanapun berkata, semua orang kena menerima hakikat dan takdir kehidupan yang sudah tertulis termasuklah kakak kepada selebriti terkenal Neelofa itu.
“Mummy Jebat okay? Dia okay… jangan risau, Insya-Allah dia okay. Strong lady (dia wanita kuat). Dia kena hadap la benda-benda macam ini. Nak buat macam mana, betul tak?
“Bukannya kita minta, kalau kita minta itu lain la… kita kena terima la. Macam aku cakap la, Tuhan bagi dekat kita macam-macam. Dia bagi kita yang best, kita buat-buat tak nampak.
“Tapi dia bagi tak best, kita nampak pula. Waktu dia bagi kita best-best itu, kita nampak tak? Kadang-kadang kita nampak tapi buat-buat tak nampak. Jadi, Tuhan tarik la sikit bagi kita pening sikit.
“Tapi Dia nak bagi la nanti sinar yang best lagi. Kita tak tahu… selalulah fikir positif,” ujarnya ketika membuat siaran langsung di Instagram.
Dalam pada itu, Sharnaaz turut menasihati semua netizen agar tidak mencampuri urusan kehidupan peribadi orang lain kerana ia boleh berbalik kepada diri sendiri.
“Kadang-kadang kita manusia ini jangan duk sibuk hal orang. Hal kita pun belum tentu lagi, Tuhan pun duk tulis juga hal kita punya. Jangan terlampau ‘over’ nak cakap ‘oh dia jadi macam ini, dah agak dah akan jadi macam itu’.
“Hang tak sedar ke Tuhan pun tengok. Tuhan akan balas semula orang yang kutuk orang lain. Apa saja yang kita cakap fasal orang, mungkin akan kena balik kepada kita,” katanya.
Rumah tangga usahawan Noor Nabila dan Engku Emran yang dibina sejak dua tahun lalu berakhir dengan perceraian pada Isnin.
Sebelum menikahi Nabila, Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti jelita iaitu Erra Fazira dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya.
Dia juga pernah berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Sementara itu, Nabila pernah berkahwin dengan Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden. - Gempak
#Noor Nabila #Engku Emran #Sharnaaz Ahmad #Noor Nabila Engku Emran bercerai
;