Sharifah Zarina, Athalia berduet dalam lagu raya 'Oohaa Raya'
Bernama
Mac 18, 2025 17:30 MYT
Mac 18, 2025 17:30 MYT
Lagu itu mencipta sejarah sebagai lagu raya pertama dalam industri muzik tanah yang menggabungkan ibu dan anak sebagai penyanyi duet. -YouTube
KUALA LUMPUR: Penyanyi Sharifah Zarina Wan Hassan tampil dengan lagu raya terbaharu berjudul Oohaa Raya, yang menampilkan kolaborasi istimewa bersama-sama dengan anak perempuannya Athalia Deena Buswani.
Ringkasan AI
- Sharifah Zarina Wan Hassan dan anak perempuannya, Athalia Deena Buswani, melancarkan lagu raya terbaharu berjudul Oohaa Raya, mencipta sejarah sebagai lagu raya pertama yang menampilkan ibu dan anak sebagai penyanyi duet.
- Lagu ini membawa kisah sebenar kehidupan mereka ketika menyambut Aidilfitri dan perkataan "Oohaa" diambil daripada bahasa Iban yang bermaksud "hello" atau "hai".
- Lagu Oohaa Raya dilancarkan pada 14 Mac dan boleh didengari di semua platform penstriman muzik, dengan muzik video rasmi ditayangkan di saluran YouTube Faithful Music.
Lagu terbitan Faithful Music dengan kerjasama Malika Entertainment itu mencipta sejarah sebagai lagu raya pertama dalam industri muzik tanah air yang menggabungkan ibu dan anak sebagai penyanyi duet.
Sharifah Zarina yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi lagu 40 di platform TikTok pada tahun lepas, berkata Oohaa Raya membawa kisah sebenar kehidupan mereka anak-beranak, terutama ketika menyambut Aidilfitri.
"Idea untuk berduet dengan Athalia datang daripada komposer lagu ini, Eugene Lai dan Ja'a. Saya rasa ia satu idea yang menarik kerana belum pernah ada lagu raya yang menampilkan ibu dan anak sebagai penyanyi bersama," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Langit Ketujuh itu, pengalaman merakam lagu bersama-sama dengan anaknya agak berbeza berbanding kebiasaannya, kerana sebagai ibu, beliau cenderung untuk memberi tunjuk ajar kepada Athalia sepanjang proses rakaman.
Selain lagu, mereka juga menghasilkan enam episod siri web berkaitan Oohaa Raya yang dimuat naik di akaun TikTok rasmi mereka, realsharifahzarina dan officialathalia.
Tentang Oohaa Raya, Sharifah Zarina berkata perkataan Oohaa itu diambil daripada bahasa Iban yang boleh dimaksudkan sebagai "hello" atau "hai".
"Perkataan 'Oohaa' ini digunakan begitu meluas di Sarawak, jadi sebagai anak kelahiran Bumi Kenyalang, saya cuba menyelitkan sesuatu yang ada kaitan dengan budaya yang ada di negeri saya," katanya.
Sementara itu, Athalia berkata beliau teruja dapat bekerjasama dengan ibunya yang bukan sahaja mengeratkan hubungan mereka, malah memberikan peluang untuk saling belajar dalam bidang muzik.
"Kadang-kadang timbul juga perbezaan pendapat ketika sesi rakaman dan penggambaran muzik video, tetapi kami tetap mencari jalan tengah dan bersepakat," katanya.
Lagu Oohaa Raya dilancarkan pada 14 Mac lalu dan boleh didengari di semua platform penstriman muzik termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.
Muzik video rasmi lagu itu pula mula ditayangkan di saluran YouTube Faithful Music sejak semalam.
-- BERNAMA