Sharifah Aini, artis yang selalu raikan wartawan - Reaksi wartawan veteran
Azyyati Ahmad
Julai 5, 2014 16:54 MYT
Julai 5, 2014 16:54 MYT
Allahyarham Datuk Sharifah Aini disebut sebagai artis yang selalu meraikan wartawan malah sentiasa menjemput wartawan ke rumahnya, itu antara reaksi yang sama diceritakan oleh wartawan-wartawan veteran yang ditemui Astro AWANI.
Wartawan majalah hiburan popular Malaysia URTV, Huzz ketika ditemui tidak dapat menahan perasaan sebak tatkala menceritakan kenangan bersama arwah.
Bagi Huzz, Sharifah Aini umpama seorang kakak bagi dirinya.
“Wartawan hiburan di Malaysia kebanyakan pernah masuk ke rumahnya. Jarang ada artis yang membuka pintu kepada wartawan, tetapi beliau sudah menganggap kami semua bagai keluarganya.
“Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada Rabu, tetapi ketika itu beliau direhatkan, saya tidak dapat berborak dengannya” kata Huzz yang merupakan antara wartawan yang selalu membuat liputan mengenai Sharifah Aini dari awal.
Huzz turut memberitahu bahawa arwah selalu meluahkan rahsia hati kepadanya dan perkara itu akan kekal menjadi kenangan paling manis buat dirinya.
“Kali terakhir saya bertemu dengan Kak Ani (Sharifah Aini )adalah tiga minggu lepas, semasa diberitahu oleh beliau sendiri bahawa hospital membenarkan pelawat masuk, saya terus datang.
“Kenangan manis paling tidak dapat saya lupakan adalah ketika kami berselisihan faham disebabkan beliau berkecil hati dengan salah satu tulisan saya, namun saya lega kami berbaik semula dan menjadi lebih rapat semenjak itu” cerita Saodah ketika ditemui sejurus selepas upacara pengkebumian biduanita negara itu.
Saodah merupakan wartawan bahasa Melayu pertama yang menemubual Sharifah Aini secara eksklusif.