Shakira didakwa tipu cukai buat kali kedua
Agensi
September 26, 2023 07:00 MYT
September 26, 2023 07:00 MYT
PENYANYI pop kelahiran Colombia, Shakira didakwa atas kesalahan penipuan cukai buat kali kedua oleh kerajaan Sepanyol.
Pendakwa raya Sepanyol mendakwa, penyanyi itu dituduh menipu kerajaan negara berkenaan bagi pendapatan 6.7 juta euro (RM33 juta) pada 2018.
Pendakwaan ini dilakukan ke atas Shakira berikutan kegagalannya mengisytiharkan jutaan pendapatan yang diterima sebagai bayaran pendahuluan bagi siri konsert jelajahnya,
El Dorado World Tour.
Kertas siasatan ke atas penghibur terkemuka antarabangsa itu dibuka pada Julai lalu, namun, kenyataannya diedarkan pada Selasa.
Rangakaian media Sepanyol, RTVE melaporkan, penyanyi berusia 46 tahun itu sedia maklum mengenai pendakwaan undang-undang terbaharu dibuat ke atasnya, namun, agensi berita Reuterus pula melaporkan, pasukan guaman Shakira di Miami, Amerika Syarikat - lokasi di mana beliau kini menetap - sehingga kini tidak dimaklumkan mengenainya.
Sebaliknya, mereka kini sedang fokus pada persiapan menghadapi perbicaraan bagi kes tahun fiskal 2012 yang akan bermula pada 20 November depan.
Merujuk pada pendakwaan terbaharu berhubung pendapatan tahun 2018, Shakira yang pernah menetap di Barcelona, Sepanyol dengan kekasihnya yang juga pemain bola sepak, Gerard Pique ketika itu seharusnya tidak terlepas daripada dikenakan cukai ke atas setiap perolehan antarabangsa yang diterimanya.
Shakira kini berhadapan dengan enam dakwaan penipuan cukai di Barcelona yang akan didengar di mahkamah pada bulan November akan datang.
Penyanyi yang masyhur dengan lagu Waka Waka (This Time for Africa) itu, dituduh menipu pejabat cukai Sepanyol untuk pendapatan bernilai 14.5 juta euro (RM71 juta) yang diperoleh antara 2012 dan 2014.
Bagaimanapun, Shakira menafikan dia melakukan salah laku itu. - Agensi