Shahrukh Khan terima penghargaan dari kerajaan Perancis
Gempak
Julai 3, 2014 12:08 MYT
Julai 3, 2014 12:08 MYT
Jika anda masih ingat, enam tahun lalu pelakon hebat Shahrukh Khan telah dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada sesi khas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Melaka.
Tidak dinafikan, penglibatan pelakon berusia 48 tahun ini banyak memberi impak besar kepada perfileman Bollywood di mata dunia.
Terbaru, sekali lagi, Shahrukh Khan membuktikan namanya cukup berpengaruh dalam dunia perfileman di India selepas menerima penghargaan besar iaitu darjat Knight of the Legion of Honor dari kerajaan Perancis.
Penghargaan tersebut telah disampaikan oleh wakil kerajaan Perancis di kedutaan besar mereka di India.
Menurut jurucakap kedutaan Perancis, Shahrukh Khan merupakan individu yang cukup berpegaruh dan memberi banyak sumbangan untuk menyatukan perbezaan kebudayaan di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Shahrukh Khan jelas sangat berbangga dengan pengiktirafan serta penghargaan yang diberikan oleh kerajaan Perancis.
“Saya merasa sangat bangga kerana menerima penghargaan yang tinggi seperti ini. Lebih menyentuh perasaan serta terharu apabila penghargaan ini diterima di hari ulangtahun Allahyarhamah ibu saya. Jika dia masih hidup tentu ibu merupakan individu paling gembira dengan kejayaan yang saya kecapi.
“Pengiktirafan ini bukan hanya untuk diri saya sendiri, tetapi untuk semua yang berusaha menaikkan nama dunia perfileman Bollywood sejak dahulu lagi,” jelasnya seperti dipetik menerusi Indian Express.
Jelas Shahrukh Khan lagi, usaha keras dan penat lelahnya sejak seawal pengilbatan dalam dunia lakonan akhirnya terbayar juga dan mendapat perhatian mereka diluar sana. Ini merupakan satu motivasi untuk dirinya lebih bekerja keras menghasilkan karya yang lebih hebat di masa akan datang.
“Pencapaian yang cukup membanggakan kerana akhirnya berkat usaha selama ini terbayar juga. Pengiktirafan ini merupakan motivasi untuk membawa dunia perfileman India ke tahap yang lebih tinggu selepas ini.
"Semoga filem india akan terus diterima dan dicintai ramai. Terima kasih kepada presiden Perancis yang sudi memberi penghargaan hebat ini,” ujarnya mengakhiri perbualan -- Astro Gempak