Shahir AF8 sedang rapat dengan Erra Fazira
Astro Awani
Mei 27, 2014 10:04 MYT
Mei 27, 2014 10:04 MYT
Walaupun sebelum ini berdolak-dalik, akhirnya juara Akademi Fantasia musim kelapan iaitu Shahir mengakui dia kini sedang berkawan dengan pelakon cantik Erra Fazira.
Jelas penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu, tidak salah untuk dia berkawan dengan rakan-rakan seperjuangan apatah lagi artis berpengalaman seperti Erra.
“Antara saya dan Erra kami masih dalam proses mengenali diri masing-masing. Apa pun saya tidak dapat untuk komen dengan lebih lanjut," ujar Shahir.
Ditemui semasa Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 tempoh hari, Shahir mengakui Erra merupakan individu tepat sebagai sumber rujukan terbaik untuk artis-artis muda sepertinya.
“Saya anggap Erra Fazira sebagai Erra Fazira. Dia seorang artis berpengalaman yang boleh dijadikan sumber rujukan artis-artis baru seperti saya,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Erra yang ditemui di majlis anugerah yang sama enggan memberi sebarang maklumbalas apabila ditanya tentang perkara yang sama.
“Kalau boleh saya tidak mahu memberi komen apa-apa selain dari ABP. Kehidupan peribadi saya, saya tidak mahu komen. Hari ini adalah hari ABP," kata Erra.
Terdahulu timbul desas-desus yang mengatakan Erra dan Shahir dilihat keluar bersama dan dikatakan sedang rapat.
Erra Fazira atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek sebelum ini sah bercerai dengan bekas suami Engku Emran Engku Zainal Abidin 39 tahun. Mereka dikurniakan seorang anak iaitu Engku Aleesya yang kin berusia 5 tahun.