Shahir AF selamat bergelar suami Jaskin Jaludin dengan sekali lafaz

Gempak
September 3, 2022 09:30 MYT
Shahir selamat diijabkabulkan dengan Jaskin Jaludin di Dewan Bizmilla Wedding Centre, Subang Jaya semalam. -Gempak
DENGAN hanya sekali lafaz, penyanyi Shahir AF selamat diijabkabulkan dengan Jaskin Jaludin, 30, yang berlangsung di Dewan Bizmilla Wedding Centre, One City, Subang Jaya, Selangor tepat jam 9.10 malam.
Pasangan itu telah dinikahkan oleh bapa perempuan Jaludin Nongche yang disaksikan oleh jurunikah Muhammad Hakimi Mustapai.
Pengantin perempuan yang berasal dari Sabah telah menerima RM300 sebagai mas kahwin dan wang hantaran sebanyak RM20,000 daripada pihak Shahir atau nama penuhnya Ahmad Shahir Zawawi, 34.
Selain itu, pihak pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran kepada pihak perempuan dan turut dibalas dengan tujuh dulang oleh pihak Jaskin.
Pelantun lagu "Dia Yang Kau Pilih" itu yang ditemui Gempak mengalirkan air mata kesyukuran kerana bersyukur akhirnya akad nikahnya berjalan lancar.
“Alhamdulilah syukur akhirnya semua berjalan lancar seperti yang kami rancangkan,” katanya kepada Gempak yang ditemui ketika majlis akad berkenaan.
Pasangan itu berkenalan pada Mei sebelum bertunang pada Julai lalu di kediaman Jaskin di Tawau, Sabah.
Shahir dan Jaskin berkenalan dan mengenali antara satu sama lain selama empat bulan sebelum mendirikan rumah tangga.
Pasangan ini bakal diraikan dalam satu majlis resepsi keesokkan harinya di lokasi yang sama. Ia bakal dihadiri oleh keluarga, sahabat handai dan rakan media. -Gempak
#Shahir AF #Dewan Bizmilla Wedding Centre #Jaskin Jaludin #Ahmad Shahir Zawawi
;