'Setiap hari dia menangis rindukan Afnan' - Duka kehilangan, Azmi Saat mohon doakan isteri
Mingguan Wanita
Oktober 28, 2021 10:00 MYT
Oktober 28, 2021 10:00 MYT
“Setiap Hari Ada Masa Dia Menangis, Rindukan Afnan.”
Begitulah luahan hati vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat berkongsi rasa tentang kehidupannya dan isteri terkini selepas anak sulungnya, Khairul Afnan disahkan meninggal dunia 30 September lalu.
Sememangnya kehilangan orang yang tersayang sangatlah menyedihkan apatah lagi penantian untuk menimang cahaya mata selama 10 tahun berakhir dengan linangan air mata, selepas beberapa hari dilahirkan anak mereka Khairul Afnan telah meninggal dunia.
Difahamkan, arwah Afnan berdepan dengan masalah fungsi otak selepas doktor mengesyaki otak bayi itu tidak berfungsi kerana dia tidak bergerak.
Sejak hari pertama dilahirkan pada 27 September lalu, Afnan dipakaikan alat bantuan pernafasan dan sepatutnya menjalani ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI), namun doktor tidak sempat berbuat demikian.
Duka Kehilangan Cahaya Mata, Mohon Doakan Isteri
Kini sudah sebulan berlalu dan pemergian Arwah Afnan sentiasa dikenang, apatah lagi perasaan seorang wanita dan isteri.
Menurut Azmi, isterinya ada kalanya menangis rindukan anak mereka.
Sempena sambutan hari kelahiran Nazira, Azmi memohon orang ramai mendoakan buat isterinya.
"Ternyata, dia masih belum betul-betul boleh melupakan saat-saat indah bersama cahaya mata kami.
"Walaupun keadaannya semakin baik, tapi setiap hari akan ada masa dia menangis kerana rindukan Afnan dan detik-detik indah itu.
"Mudah-mudahan kata-kata positif kalian dapat memberi seribu kekuatan buat dia. Insya-Allah," ungkapnya.
Dialah Isteri, Sahabat, Kawan & Nyawa
Azmi menerusi perkongsian di akaun Instagramnya juga meluahkan agar orang ramai menghadiahkan kata-kata positif buat isterinya.
“Hari ini hari ulang tahun kelahiran orang yang sangat bermakna dalam hidup saya. Dialah isteri, sahabat, kawan dan nyawa saya.
“Mohon kawan-kawan doakan dia agar sentiasa dirahmati, diberkati, dilimpahkan rezeki yang berkat, sentiasa dalam kebaikan di dunia dan akhirat.
“Kalau sudi, tolonglah hadiahkan kata-kata positif untuknya. Hari ini genap sebulan Arwah Afnan lahir.
"Ternyata, dia masih belum betul-betul boleh melupakan saat-saat indah bersama cahaya mata kami.
“Walaupun keadaannya semakin baik, tapi setiap hari akan ada masa dia menangis kerana rindukan Afnan dan detik-detik indah itu.
“Mudah-mudahan kata-kata positif kalian dapat memberi seribu kekuatan buat dia. Insya Allah.
“Selamat ulang tahun kelahiran Nazira Muhammad,” pinta Azmi.
Dibanjiri Doa Dari Orang Ramai
_roziehadie_: "Selamat hari lahir Nazira, semoga Allah SWT permudahkan segala urusan dan semoga dilimpahi kebahagiaan di dunia dan di akhirat."
Hasibahbasir: "Happy birthday, Nazira. Semoga di sebalik dugaan ada seribu hikmah. Amin."
Nurulsaada: "Happy birthday…semoga sentiasa dalam kasih sayangNya. Afnan menunggu di syurga."
Kimikhaiessa: "Apa yang lebih sempurna dan indah adalah Afnan kini menanti ibu bapanya di syurga. Sabar ya, Nazira dan Azmi."
Norzilasarman: "Syukur, alhamdullilah. Selamat hari ulang tahun untuk Nazira Muhammad, dilimpahi rezekinya, dikurniai kesihatan yang baik, sejahtera dunia akhirat. Amin."
delz_deqayla: "Selamat hari lahir Nazira, semoga terus kuat dan sentiasa di bawah rahmat dan lindungan Allah."
ummiasmohd: "Aamiin2. Happy birthday."
puan.miyo: "Selamat ulang tahun. Moga diberi limpah rahmat buat kalian."
khairulhakiminmuhammad: "Selamat hari lahir, Puan Nazira! Semoga Allah sentiasa memberi rahmat dan kasih sayang selamanya."
rohayatimeorali72: Happy birthday, Nazira. Moga ada hikmah dengan apa yg terjadi, diberi rezeki yang lebih nanti. Insya-Allah. Amin."
Sumber / Sumber Foto : Instagram Azmi Saat
*Artikel asal di Mingguan Wanita