Setahun selepas isu 'Famous', Taylor Swift bakal tampil dengan 'Reputation'
Syafique Shuib
Ogos 24, 2017 09:39 MYT
Ogos 24, 2017 09:39 MYT
SETELAH setahun menyepi dari industri muzik, penyanyi terkenal Amerika Syarikat Taylor Swift mengumumkan bakal melancarkan single terbaharu pada Khamis.
Perkara ini diumumkan oleh Swift menerusi laman Instagram.
“Single terbaharu keluar esok (Khamis).
“Reputation… Album terbaharu dari Taylor Swift pada 10 November,” umum Swift di Instagram.
Selain itu, Swift turut memuat naik gambarnya, dengan perkataan ‘Reputation’.
Minggu lepas, Swift bertindak untuk memadam kesemua gambarnya di dalam akaun itu.
Pada Selasa, beliau memuat naik sebuah video yang menunjukkan satu objek yang kelihatan seperti ular.
Peminat tegar Swift berpendapat ia merupakan satu gimik bagi mengumumkan kemunculan semula Swift dalam industri muzik setelah album terakhirnya ‘1989’ dilancarkan pada 2014.
Namun timbul spekulasi bahawa video berkenaan ditujukan kepada Kanye West dan Kim Kardashian kerana kontroversi lagu 'Famous'.
Pada 2016, tercetus perbalahan antara Swift dan West berhubung rangkaian lirik dalam lagu 'Famous'.
Swift mendakwa beliau tidak pernah mendengar lagu itu sebelum ia dilancarkan dan lirik berkenaan tidak mendapat kebenarannya.
Namun isteri West, Kim Kardashian memuat naik beberapa rakaman video di akaun Instagramnya, yang memaparkan perbualan telefon antara Kanye dengan Swift mengenai rangkap lirik lagu, 'Famous'.
Selebriti program realiti itu mendakwa rakaman video tersebut membuktikan Swift telah membenarkan Kanye untuk menggunakan lirik kontroversi mengenai dirinya.
Swift kemudian terus sepi dari industri dengan hanya melancarkan satu duet bersama Zayn Malik menerusi lagu ‘I Don’t Wanna Live Forever’.