Setahun pemergian Ashraf Sinclair: 'Kami merinduimu, Abang Ash' - Yuna
Astro Awani
Februari 18, 2021 19:29 MYT
Februari 18, 2021 19:29 MYT
HARI ini genap setahun pemergian aktor Ashraf Sinclair, namun kehilangannya masih dirasai.
Di media sosial, beberapa individu paling rapat meluahkan kerinduan tidak bertepi untuk Ashraf.
Paling menyentuh hati tentunya nukilan ibu Ashraf, Khadijah Sinclair, yang memuat naik lukisan bunga orkid, disertakan dengan sekeping surat luahan perasaannya.
Adik ipar Ashraf, Yuna pula memuat naik gambar kompilasi video dan foto-foto terakhir bersama Ashraf, yang diambil seminggu sebelum aktor itu menghembuskan nafas terakhir.
"Kami merinduimu, Abang Ash. Saya akan sentiasa mengingati masa terakhir yang kita habiskan bersama, selamanya," tulis Yuna.
Ashraf, yang juga suami pelakon dan penyanyi Indonesia, Bunga Citra Lestari, meninggal dunia pada 18 Feb tahun lalu akibat serangan jantung.
Dalam temubual terbaharu di saluran YouTube, Bunga sempat meluahkan rasa terkilannya kerana sentiasa sibuk bekerja, dan pemergian Ashraf membuatkan dia kembali memikirkan keutamaan dalam hidup.
"Saya seorang yang teratur. Saya ada aturan dalam hidup saya, ada masa untuk keluarga dan ada masa untuk kerja.
"Bukanlah saya menyesal kerana memberi tumpuan kepada kerjaya. Tetapi hari ini bila difikirkan kembali, saya tertanya, untuk apa saya 'berlari' selama ini? Apa yang saya kejar?
"Kalaulah saya tahu masa saya dengan dia hanya 12 tahun, mungkin keutamaan saya juga berubah. Mungkin saya tidak 'berlari' begitu, dalam keadaan saya sendiri tidak tahu apa yang saya kejar," ujarnya.