Setahun nombor disekat, Puteri Sarah jawab kenyataan suami
Faida Rahim
Januari 6, 2023 23:42 MYT
Januari 6, 2023 23:42 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon Puteri Sarah Liyana berterima kasih kepada suaminya, pengarah terkenal Syamsul Yusof kerana akhirnya mengaku sudah berkahwin menerusi sesi live di Instagram, hari ini.
Pelakon berusia 38 tahun ini turut mempersoalkan kenyataan Syamsul yang menyuruhnya pulang ke rumah untuk berbincang secara baik.
“Selepas empat tahun perkara ini terjadi dan sudah setahun juga awak block nombor telefon saya. Awak tahu di mana saya berada. Setiap pergerakan saya selalu kongsikan di Instagram. Sama ada saya berada di rumah ibu-bapa saya atau di rumah mama papa awak.
“Saya keluar rumah pada tahun 2020 dan awak pasti ingat kenapa saya keluar dari rumah. Tak perlu saya cerita sekarang nanti buka aib.
“Bila awak datang ke rumah mama papa awak, awak tahu saya berada di rumah. Bukan macam awak berada di Thailand,” katanya Puteri Sarah susulan pendedahan video suaminya, Syamsul Yusof yang mengesahkan sudah berkahwin dengan Ira Kazar di Thailand, hari ini.
Jelas Sarah, disebabkan keputusan Syamsul berkahwin sekali lagi dengan Ira di Thailand, isteri barunya itu juga telah melanggar perintah injuksi seperti yang telah difailkan tahun lalu.
"Saya dah pernah tanya banyak kali sama ada nak berkahwin dengan Ira ataupun tidak, tapi dia tidak mengaku dan beritahu tidak mahu berkahwin lagi. Kalau dari awal dia mengaku tidaklah saya saya turun naik mahkamah dan pergi ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk membuat laporan terhadap gangguan yang dibuat.
"Sekarang ini isteri baru awak sudah menghina mahkamah dengan melanggar perintah injuksi. Apapun jumpa di mahkamah," katanya.
Dalam sebuah hantaran berbeza, Puteri Sarah memuat naik gambar dua anak mereka, Syaikhul Islam dan Sumayyah, Sarah meminta agar Syamsul tidak membalikkan kebodohan itu kepadanya.
"Syamsul Yusof, tolong jangan balikkan kebodohan awak kepada saya. Jangan gunakan nama Allah untuk membuatkan awak kelihatan seperti malaikat di mata manusia," katanya.
Tambahnya, jika Syaikhul dan Sumayyah boleh memberikan kenyataan di mahkamah, mereka pasti akan memberitahu bapa mereka yang banyak kali keluar dari rumah.
Dalam entri itu, Sarah sempat menitipkan ucapan tahniah buat pasangan pengantin baharu kerana akhirnya berani tampil membuat pengakuan.
Puteri Sarah mendirikan rumah tangga dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul, 5 dan Summayah, 3.