Sesak nafas, hampir pitam... Ibnor Riza kini dirawat di hospital

Gempak
Januari 15, 2023 18:43 MYT
Berita mengenai keadaan Ibnor RIza itu dimaklumkan oleh sahabatnya yang juga penyanyi, Nizam Laksamana menerusi akaun Facebook miliknya semalam. - Gempak.com
PENYANYI Ibnor Riza, 62, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sesak nafas dan hampir pitam.
Berita itu dimaklumkan oleh sahabatnya yang juga penyanyi, Nizam Laksamana menerusi akaun Facebook miliknya semalam.
Menurut Nizam, selain sesak nafas, Ibnor Riza juga mengalami tekanan darah rendah, tiada selera makan dan beberapa gejala lain.
“Rentetan dari penyakit yang dialami tempoh hari, sekarang dia sakit kepala yang teruk(hampir pitam). Suara yang lemah, tiada selera makan dan tak boleh bercakap macam biasa.
“Tekanan darah rendah, tidak boleh menelan makanan, juga beberapa simptom penyakit yang belum dapat diketahui secara terperinci.
“Sebelum ini pun beliau telah mendapat rawatan di klinik. Mudah-mudahan di HKL ini dapatlah beliau dirawat secara menyeluruh,” maklumnya.
Dalam hantaran yang sama, Nizam juga memohon orang ramai mendoakan kesembuhan sahabatnya itu.
“Marilah kawan-kawan sama-sama kita doakan kesembuhan beliau. Mudah-mudahan ada doa dari kawan-kawan yang Allah S.W.T perkenan dan angkat doa kawan-kawan dan Allah S.W.T sembuhkan beliau dari apa jua sakit yang beliau alami,” tulisnya.
Sebelum ini media melaporkan Ibnor Riza menderita akibat leher membengkak, hilang suara, kencing manis, darah tinggi, migrain dan tahap kolesterol kritikal.
* Artikel asal disiarkan di Gempak.com
#Ibnor Riza #kesihatan #HKL #sesak nafas
;