Sertai keluarga ERA, Elly Mazlein jadikan Halim Othman inspirasi
Faida Rahim
Oktober 11, 2022 11:20 MYT
Oktober 11, 2022 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Elly Mazlein menyifatkan tawaran sebagai penyampai radio ERA merupakan peluang yang tidak akan disia-siakan.
Pengacara Gegar Vaganza musim kesembilan ini ketika dihubungi Astro AWANI mengakui, dia merupakan pendengar stesen berkenaan sejak dari awal stesen radio itu beroperasi malah mengakui kagum dengan bakat penyampai berpengalaman, Halim Othman.
“Sekitar tahun 1998, saya memang sentiasa tunggu segmen abang Halim Othman ke udara. Dengar dia berceloteh dan gaya suaranya sudah boleh buat saya terhibur walaupun tidak nampak muka.
“Pada saya, abang Halim Othman merupakan penyampai radio yang berbakat besar dan penyampaiannya nampak bijak dan meyakinkan. Kalau boleh saya nak jadi seorang penyampai radio yang menghiburkan dalam masa sama setiap perkataan yang keluar kalau boleh ada ‘isi’,” kata Kak Lina.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas tentang jadualnya yang semakin padat kebelakangan ini, Elly Mazlein atau lebih dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom tidak menganggap perkara itu sebagai bebanan, sebaliknya, ia adalah tanggungjawab yang harus digalas sebaik mungkin.
“Sama ada tawaran sebagai pengacara, penyampai radio, nyanyian atau lakonan, Insha Allah saya akan buat yang paling baik. Terima kasih atas kepercayaan semua pihak yang banyak menyokong karier seni saya,” akhirinya.
Elly Mazlein memulakan tugas sebagai penyampai dalam program segmen Carta ERA 40 bermula hujung minggu lalu.