Sertai 'Dangdut Star', Felix AF3 mahu kembali aktif di Semenanjung
Gempak
April 25, 2016 18:34 MYT
April 25, 2016 18:34 MYT
BEKAS naib juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Felix Agus tidak meletakkan dirinya lebih tinggi dari peserta lain dalam program realiti nyanyian terbaru, Dangdut Star.
Menurut Felix, 34, gelaran naib juara ketika menyertai AF3 sama sekali tidak memberi laluan mudah untuknya bersaing dengan peserta lain di program tersebut.
“Saya juga melalui sesi uji bakat seperti peserta yang lain dan tidak gunakan kelebihan gelaran naib juara AF3 dalam Dangdut Star.
"Jadi tiada istilah meletakkan diri saya di tahap lebih tinggi atau hebat daripada peserta yang lain,” katanya ketika di temui pada sidang media program Dangdut Star di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.
Felix berkata, dia hanya mahu kembali aktif menyanyi di Semenanjung Malaysia dan tidak memikiran soal kemenangan apabila terpilih untuk menyertai program Dangdut Star.
“Sebenarnya saya sangat rindu untuk kembali aktif dalam industri seni dan bidang nyanyian. Kemunculan semula dalam program Dangdut Star secara tidak langsung beri peluang untuk melonjakkan semula nama saya di sini," ujarnya.
Tambahnya, dia juga bersyukur kerana isterinya, Lydia Larius sentiasa memberi sokongan untuk kembali menyertai program realiti nyanyian.
“Saya meminat muzik dangdut sejak berada di AF3. Apabila di panggil untuk sesi ujibakat saya jadi teruja malahan isteri turut memberi sokongan penuh kepada saya untuk kembali aktif menyanyi bersesuaian dengan muzik kegemaran saya,” katanya.
Dalam pada itu Felix menjelaskan karier nyanyian tidak terhenti selepas AF3, tetapi masih menerima undangan nyanyian walaupun menetap di Sabah.
“Walaupun menetap di Sabah, saya sentiasa menerima banyak undangan nyanyian berbanding sewaktu di Semenanjung Malaysia. Saya juga pernah mengeluarkan beberapa buah single dan album sebelum ini," katanya.
Selain Felix Agus, program Dangdut Star turut menampilkan Aishah AF3, Zizi AF7 dan tujuh peserta yang turut memberi saingan dalam program Dangdut Star ialah Rojer (Mohd Rozaidy Shukry, Johor), Fitri (Fitri Hiswady, Perak), Jiwa (Muhd Firdaus, Pahang), Zarith (Zarith Shuhada, Johor), Wanie (Azmahirwani Nordin, Kelantan), Elda (Elda Susanty, Johor) dan Fiesha (Norerinafisha, Kedah).
Penulis lirik terkenal, Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah dan penyanyi dangdut terkenal tanah air, Mas idayu diberi kepercayaan untuk menjadi juri tetap dan menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
Program Dangdut Star dihoskan oleh pelawak Tauke Jambu dan trio De Fam yang bakal bersiaran bermula 27 April selama enam minggu, setiap hari Rabu, jam 9 malam di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).