Seronok ke kahwin waktu PKP? Ini jawapan Intan Ladyana

Farhana Joni
Februari 14, 2021 18:03 MYT
Intan Ladyana berkongsi tips perkara yang perlu dilakukan bagi mereka yang merancang bernikah ketika pandemik COVID-19. - Gambar Instagram Intan Ladyana.
KUALA LUMPUR: Setiap pasangan pengantin baharu yang melangsungkan perkahwinan ketika pandemik COVID-19 harus melihat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sebagai ujian yang istimewa.
Jelas Intan Ladyana yang baharu bergelar isteri 5 Februari lalu, walaupun terikat dengan pelbagai peraturan yang ditetapkan, namun baginya ia adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.
Pelakon itu juga melihat setiap yang berlaku pasti ada hikmah tersembunyi buat dirinya dan suami, Harris Alif.
"Ada hikmah di sebalik PKP sekarang, jangan pandang arahan kerajaan itu sebagai tak best, tetapi anggap sebagai cabaran dan dugaan untuk pasangan sebab ia berlainan dengan pasangan yang kahwin sebelum PKP.
"Ia juga sebagai pengalaman yang tak boleh dilupakan sampai bila-bila," katanya ketika temu bual bersama Astro AWANI dalam IGLiVE, pada Sabtu.
Pada masa sama, Intan Ladyana yang kini bergelar pengarah drama dan filem juga memberitahu, dirinya sendiri tidak mahu berkumpul ramai-ramai ketika pandemik COVID-19 ini.
"Bagi saya, buat mana yang wajib dan perlu dahulu, resepsi atau majlis boleh tunggu.
"Kita pun tak nak berkumpul ramai-ramai orang dalam tempoh begini," ujarnya sambil memberitahu Iceland dan Greece sebagai destinasi berbulan madu impiannya.
Intan Ladyana turut berkata, apa yang penting bagi mereka yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah menyediakan semua dokumen yang diperlukan dengan sebaik mungkin.
"Selain daripada mematuhi SOP yang ditetapkan, semua dokumen perlu siap awal-awal.
"Jika tidak, tarikh yang dirancang untuk bernikah itu akan dianjak lagi ke hadapan sebab ada ramai pasangan pengantin yang ingin melangsungkan perkahwinan," katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kecaman netizen susulan berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda, Intan Ladyana memberitahu;
"Berbelas tahun saya dalam industri hiburan dan memang dari dahulu menerima kecaman, tapi nak kata saya kalis kecaman itu tak juga.
"Saya lihat dulu perkara itu sama ada ia kecaman yang betul atau kosong sahaja selain kena tanya juga, apa yang kita hendak dalam hidup kita," katanya lagi.
#Intan Ladyana #Harris Alif #perkahwinan #PKP #COVID-19 #IG Live #kecaman #netizen #SOP #pelakon #pengarah
;