Serangan jantung mengejut, pelakon Korea Selatan Park Min-jae meninggal dunia
Intan Shanim Sulaiman
Disember 3, 2024 16:43 MYT
Disember 3, 2024 16:43 MYT
PELAKON terkenal Korea Selatan, Park Min-jae, 32, meninggal dunia akibat serangan jantung di China, Jumaat lalu.
Memetik portal Koreaboo, berita itu disahkan oleh Ketua Eksekutif agensi Big Title, Hwang Joo-hye, pada Isnin dan menyifatkannya sebagai seorang pelakon yang hebat, berdedikasi dengan lakonan dan sentiasa memberikan yang terbaik untuk dirinya sendiri.
“Kami berterima kasih kepada perhatian yang peminat berikan kepada Min-jae, walaupun kita tidak dapat melihat lakonannya lagi, kami berbangga dengannya sebagai seorang pelakon di Big Title,” katanya.
Agensinya turut berkata bahawa Min-jae sebelum ini berniat menakluki dunia hiburan China dan pergi bercuti selama sebulan di sana, malangnya itu menjadi satu 'cuti yang panjang'.
Sementara itu, abang kepada pelakon drama Little Women itu turut meluahkan rasa sedih menerusi laman Instagram miliknya.
"Adik lelaki kesayangan kami telah pergi untuk berehat. Kami berharap seramai mungkin dapat hadir untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Harap maklum bahawa kami tidak dapat menghubungi semua orang secara individu," katanya.
Upacara pengebumian Min-jae yang terkenal dengan lakonannya dalam drama Mr. Lee, Goryeo-Khitan War, Snap and Spark, Bo-ra! Deborah, dan Call It Love itu, akan berlangsung esok.