Sepatutnya saya yang pergi dulu! - Umi (Bonda Datuk Sharifah Aini)

murai
Julai 5, 2014 12:12 MYT
Sharifah Noor atau Umi dalam getar suara yang cukup sebak saat bercerita tentang pemergian Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini.
"Sepatutnya saya yang pergi dulunya...bukan dia...sebab saya lebih banyak lagi penyakit berbanding dia," kata Sharifah Noor atau Umi dalam getar suara yang cukup sebak saat bercerita tentang pemergian Biduanita Negara, Datuk Sharifah Aini.
Bonda kepada Datuk Sharifah Aini ini berkata demikian tatkala meluahkan perasaannya kepada pengacara Apa Kata Malaysia hlive!, Datuk Aznil Hj Nawawi (Pak Nil) yang ketika itu sempat meluangkan masa untuk menziarahi jenazah Allahyarham selepas beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Pakar Damansara, kira-kira jam 1.26 pagi tadi.
Allahyarham yang mesra disapa sebagai Kak Pah atau Kak Ani di kalangan rakan-rakan seperjuangan atau peminatnya itu meninggal dunia setelah berada di dalam keadaan yang cukup kritikal akibat jangkitan pada paru-paru.
Umi yang berkerusi roda serta ditemani suaminya (bapa tiri Kak Pah) dalam keadaan yang masih hiba turut memberitahu bahawa dia terkilan kerana pulang lebih awal setelah keadaan Kak Pah mula pulih sebelum dimasukkan sekali lagi ke pusat pakar perubatan tersebut.
"Saya terkilan... sebab balik dulu. Tak sangka jadi begini. Sedihlah....," katanya dengan air mata yang berjuraian keluar sambil disaksikan oleh Pak Nil yang turut tak dapat menahan rasa sedihnya. Beberapa kali juga Pak Nil juga menenangkan Umi dan meminta wanita berusia itu supaya bersabar.
Umi terdiam seketika mendengar kata-kata Pak Nil itu tetapi kemudian menyambung kembali kata-katanya.
"Sebetulnya sebelum pulang saya beritahu dia yang saya mahu pulang. Saya juga beritahu dia: "Umi sayang Ani...Dia anggukkan kepala.
"Saya sangka anggukannya itu bermaksud dia okey. Tapi, saya tidak sangka pula yang berlaku adalah sebaliknya dan saya kembali bergegas untuk melihat dia tapi dia sudah tiada.
"Mungkin dia mengangguk sebab tidak mahu susahkan saya. Sedihlah...memang sedih sangat" kata Umi sambil menggeleng-gelengkan kepala dan air matanya kembali bergenang di kelopak matanya dan kemudian terus mengalir turun ke pipi.
Pak Nil terus menenangkan Umi.... - murai.com.my
#Datuk Aznil Hj Nawawi #Datuk Sharifah Aini #hLive! #Sharifah Noor
;