Seniman mahu pelawak Singapura Fakkah Fuzz dihalang masuk Malaysia

Azyyati Ahmad
Julai 4, 2016 17:56 MYT
Hafiz (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat Persatuan Seniman Malaysia ke atas Fakkah Fuzz - Foto Astro AWANI
Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membuat laporan polis ke atas pelawak Singapura Fakkah Fuzz yang mempersendakan Perdana Menteri Malaysia sebagai 'pencuri' dalam sebuah program hiburan di republik itu baru-baru ini.
Menurut Setiausaha Agungnya, Hafiz Hanafiah, Seniman memandang serius perkara ini dan mahu pelawak tersebut dihalang masuk ke Malaysia sekiranya tiada permohonan maaf terbuka dilakukan.
Katanya, jenaka tersebut merupakan satu publisiti murahan yang mampu menjejaskan hubungan diplomatik dua negara.
“Saya mewakili semua ahli Persatuan Seniman memohon Fakkah Fuzz membuat satu video permohonan maaf kepada rakyat Malaysia secara amnya dan secara khususnya kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Dalam masa yang sama, kami mohon Jabatan Imigresen untuk menyenarai hitamkan pelawak ini dan halang dia dari memasuki Malaysia,” jelas Hafiz yang ditemui di sidang media selepas laporan dibuat di Balai Polis Dang Wangi pada Isnin.
Kata Hafiz, sekiranya pelawak tersebut enggan melakukan permohonan maaf, satu surat rasmi akan dihantar ke kedutaan Singapura untuk meminta penjelasan.
Dalam masa yang sama, seniman turut menegaskan jenaka mempersendakan Perdana Menteri Malaysia oleh mana-mana individu dari mana- mana negara sama sekali tidak diterima Seniman.
#Fakkah Fuzz #Hafiz Hanafiah #jenaka #pelawak #Persatuan Seniman Malaysia
;