SENI FOKUS: Kosa (Kuasa) Kata Umar Uzair
Daily Seni
Mei 23, 2015 12:08 MYT
Mei 23, 2015 12:08 MYT
Allahyarham Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq pernah menjelaskan kenapa beliau gemar menggunakan kosa kata bukan kolokial (perkataan Melayu arkaik) dalam lirik-liriknya, kerana beliau mahu para rockers buka kamus dan mencari makna perkataan tersebut.
Bermula dengan kamus, lama-kelamaan para rockers ini mula minat membaca – minat pada sastera terutamanya. Pada masa yang sama, secara tidak sedar para rockers ini telah memartabatkan bahasa Melayu yang semakin rosak kerana terlalu banyak meminjam kosa kata Inggeris dan Arab.
Begitu juga perihalnya dengan dengan anak muda yang sedang mendaki pergunungan sastera – Umar Uzair, seorang sasterawan dan penyanyi. Minat yang terlalu mendalam pada sastera Melayu, atau lebih tepatnya kesenian bahasa Melayu seperti pantun, gurindam, syair dan peribahasa-peribahasa Melayu semakin membuak-buak di jiwanya, meskipun dia cuma anak muda peralihan Gen X dan Gen Y yang membesar dalam era kacau-bilau sistem pendidikan dan kekeliruan ‘bahasa perut’ Johor-Singapura (Melayu-Inggeris).
Dahsyatnya Umar Uzair, dia berani bergelut seorang diri sebagai sasterawan muda di arena antarabangsa. Walaupun dia mengenali dan rapat dengan Sasterawan Negara seperti A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh dan Kemala, namun itu bukan batu loncatan untuk terus berada di puncak. Dia bukan anak tokoh sasterawan, bukan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) atau mendapat sokongan universiti tempat belajar dalam penerbitan karya, jauh sekali untuk dia memihak pada mana-mana parti politik. Tetapi ketekunannya untuk terus berkarya dan memperjuangkan sastera Melayu laksana ombak-ombak kecil yang datang menyerang pantai ketika air laut pasang petang.
Sebaik sahaja tamat pengajian di ASWARA dalam jurusan Penulisan Kreatif pada tahun 2010, Umar Uzair sebagaimana graduan lain – terumbang-ambing mencari jawapan kepada soalan, “Aku nak buat apa sekarang?” Elektif vokal yang dipelajarinya sewaktu di ASWARA telah membawanya ke bidang nyanyian di lounge bar dan majlis-majlis berprestij di samping Ziana Zain. Pada masa yang sama, dia bercita-cita mahu menerbitkan karya-karyanya. Manuskripnya pernah ditolak oleh syarikat penerbitan namun, penolakan itu bukanlah pemutus semangatnya malah menjadi titik plot yang baharu dalam senario kehidupannya. Hasil dari kerjanya sebagai penyanyi, Umar Uzair berjaya menerbitkan sendiri kumpulan puisinya yang pertama – Di Mana Bulan Sorokkan.
“Orang kata, saya tidak ada pendirian – mahu menulis atau jadi penyanyi? Orang juga berkata saya mengejar glamour. Ya, memang itu yang saya mahukan – glamour. Saya percaya, dengan masuk ke dalam dunia hiburan (sebagai penyanyi), saya akan dikenali dan pada masa yang sama saya mahu khalayak turut sama kembali meminati sastera Melayu yang semakin disisihkan. Tak salah jika kita mencuba kerana ia adalah proses pembelajaran. Baru kita boleh jadi seniman matang,” kata Umar Uzair yang kini popular dengan lagu pertamanya “Yang Aku Mahu”.
“Dunia sastera hari ini makin dipandang sepi. Akhbar hari ini walaupun melaporkan acara-acara sastera, tetapi tidak lagi menjadi daya penarik generasi baharu untuk mengetahuinya. Televisyen juga begitu. Dunia internet lebih luas dan banyak pilihan untuk pelayar – sastera menjadi semakin terpencil kerana ditindas dengan lambakan sastera indie*. Jika sasterawan tidak glamour, mana mungkin sastera dapat menembusi minat khalayak hari ini yang lebih mencari karya-karya indie. Saya bangga jadi penyanyi yang memperkatakan perihal sastera, bukan soal gossip?”
Perkenalan dengan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) ibarat bintang yang menunjuk arah nakhoda kapal. Kemala bertanggungjawab mencungkil bakat Umar Uzair dalam dunia puisi. Bahasa: penulisan dan pertuturan Kemala yang suka berkias, menjadi pengaruh utama dalam karya-karya Umar Uzair. Kosa kata Melayu silam yang puitik lagi tinggi rahsia, menjadi pembakar semangat Umar Uzair menulis. Walau pada mulanya, puisi-puisi Umar Uzair sangat bombastik tetapi akhirnya sedikit sebanyak dia menemui gayanya yang tersendiri.
“Menyedari generasi sekarang yang tidak mengendahkan sastera Melayu seperti pantun – itu amat membimbangkan. Apatah lagi mengarang pantun, generasi sekarang tidak kreatif bermain bahasa. Kenapa jadi begitu? Kerana sastera tidak dititikberatkan oleh pihak yang sepatutnya.
“Ura-ura mengatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia mahu mansuhkan Komponen Sastera (KOMSAS) lalu diserapmasuk ke dalam matapelajaran Bahasa Malaysia dan digantikan pula dengan kesusasteraan Inggeris. Apakah sasterawan-sasterawan mahu duduk diam sahaja jika ini berlaku?” tegasnya serius dalam nada yang lembut.
Umar Uzair kini tampil dengan kumpulan puisi terbarunya, Pesta Padang Jiwa terbitan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).