Seni ada kaitan dengan kerohanian - M.Nasir

Irwan Muhammad Zain
Ogos 7, 2014 08:00 MYT
Pameran ini seperti sudah direncanakan oleh sesuatu yang ghaib. (Foto: Shahir Omar)
Sedar atau bawah sedar seniman itu menghantarkan isyarat batinnya melalui ruang, bentuk, garis dan warna dan dari komposisinya. Apa isyarat-isyaratnya adalah soal rasa. Kembaraan pertama ini memberi keterujaan pada saya. Sangat menantikan reaksi pengamat seni tampak. - Datuk M.Nasir
Peluang mengadakan pameran ini seperti sudah direncanakan oleh seuatu yang ghaib (Foto: Shahir Omar)
Dalam dunia hiburan, nama seniman Datuk M.Nasir sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Ramai yang mengenali beliau dan lagu-lagu nyanyian dan ciptaannya. Beliau dipanggil sifu, kerana lagu-lagu ciptaannya yang sering berbeza dan mempunyai sentuhan sendiri.
Tetapi, lama sebelum lelaki kelahiran Singapura ini terlibat dalam dunia hiburan, beliau adalah seorang pelukis dan belajar di Nanyang School of Fine Art.
Setelah sekian lama dalam dunia hiburan, M.Nasir kembali kepada lukisan, cabang seni yang terlebih dahulu dia terokai, dengan mengadakan pameran solo yang diberi nama Tanda di Galeri Tapak bermula 9 Ogos ini.
Bercakap soal lukisan, M.Nasir menjelaskan, beliau tidak pernah berhenti melukis, malah lagu-lagu yang diciptanya juga banyak terilham dari lukisan.
Bagi seniman ini, pameran solo lukisan beliau ini seperti sudah direncanakan oleh sesuatu ghaib, bertemu seorang pelukis terkenal, Yusuf Ghani dan ditawarkan membuat pameran.
"Sebenarnya saya masih melukis ketika aktif dalam dunia hiburan, tetapi tidak sampai tahap nak buat pameran.
"Masa yang lama ketika dalam dunia hiburan, atau saya katakan itu sebagai sejenak, saya seperti lupa, tetapi hari ini saya dikejutkan semula oleh seorang pelukis terkenal, Yusuf Ghani.
"Saya ditawarkan untuk mengadakan pameran di tempat beliau, di Galeri Tanda. Ia seperti sudah direncanakan oleh sesuatu yang ghaib," kata M.Nasir ketika di wawancara oleh Astro AWANI.
Ini pameran solo pertama saya, sebelum ini pernah menyertai pameran beberapa kali secara berkumpulan atau duo sebelum aktif dalam dunia hiburan. (Foto: Shahir Omar)
Bercakap mengenai Tanda yang menjadi tema pameran lukisannya, M.Nasir menjelaskan tanda menceritakan tentang perjalanan yang terdapat kesan atau tanda yang ditinggalkan untuk masyarakat hari ini atau masyarakat akan datang.
"Ia umpama kita hidup di dalam sebuah gua dan kita melukis di dinding-dindingnya.
"Lukisan itu menceritakan tentang kehidupan kita, rasa kita atau ekspresi kita," jelas beliau.
Saya lebih kerap melukis berbanding dahulu tetapi bukan bermakna ketika sibuk dengan dunia hiburan saya tidak melukis. (Foto: Shahir Omar)
Bercerita lanjut tentang lukisan dan dunia seni, M.Nasir menjelaskan segalanya ada bersangkutan dengan kerohanian.
"Seni itu ada kaitan dengan kerohanian, apabila seseorang itu mula melukis, dia dapat menikmati keindahan, dia mungkin lebih merasai keindahan berbanding orang tidak melukis.
"Rasa itu sukar untuk dinayatakan. Mungkin tiada ayat yang teapt untuk mengambarkan tentang aras dan keindahan itu," jelas beliau.
Memilih untuk menghasilkan lukisan abstark kerana ia tidak terikat dan memberi peluang untuk meneroka lebih dalam.
"Abstrak tidak terikat dan membolehkan bukan hanya pelukis tetapi yang melihat lukisan itu meneroka lebih dalam cerita yang ada pada lukisan tersebut," katanya.
Sebanyak 15 buah lukisan yang dihasilkan akan dipamerkan di Galeri Tanda bermula Sabtu ini dan ia dijangka berlangsung selama dua minggu.
Beliau mengalu-alukan kritikan terhadap lukisan yang dihasilkan tetapi berharap peminat seni tampak tidak mengaitkan ia dengan dunia hiburan yang disertainya.
#Abstrak #M.Nasir #pameran solo #tanda
;