Senario bakal kembali, Saiful Apek kini pakar motivasi
Gempak
Ogos 28, 2018 10:04 MYT
Ogos 28, 2018 10:04 MYT
PELAKON komedi dan pelawak terkenal, Saiful Apek memberitahu kumpulan Senario bakal kembali menerusi album terbaru mereka tidak lama lagi.
Jelasnya, berhubung tanda tanya sama ada kumpulan Senario yang pernah popular di era 90-an masih wujud atau sudah 'berkubur', katanya kumpulan itu akan terus berada dalam industri hiburan selamanya.
"Macam Allahyarham Tan Sri P Ramlee pernah berkata, aku akan hidup 1,000 tahun. Kita faham maksudnya dan apa yang ingin saya katakan adalah Senario akan ada sampai bila-bila," kata Apek menerusi program Planet Mawi, baru-baru ini.
Ujarnya, meskipun kelibat anggota Senario kurang kelihatan di TV mahupun dalam persembahan pentas, tetapi Apek percaya legasi komedi yang dibawa kumpulan itu akan terus hidup.
"Kami sendiri bersama anggota Senario ada 9 orang terdiri daripada Shamsul, Farouk Hussein, Hamdan, Ilya, Wahid, Azlee, Lan Pet Pet dan Yassin masih bersama.
"Kami bermuzakarah, berjumpa dan masih kuat beristiqamah sehingga lahirnya album baru yang akan dilancarkan pada penghujung tahun ini," katanya.
Jelasnya, selagi legasi anggota Senario masih sihat dan relevan dalam industri, mereka masih terus bersama.
"Seperti P Ramlee, apa yang merisaukan beliau di hujung-hujung adalah legasi. Maknanya, pelapis akan datang bukan dari sudut saja dari aspek legasi tapi kemanusiaan," katanya.
Dalam pada itu, Apek juga kini aktif memberi ceramah motivasi di kolej, universiti termasuk forum di masjid.
"Saya bukan ustaz tapi sekarang memang banyak dapat undangan untuk mengadakan ceramah motivasi.
"Saya juga kini menjadi aktivis kucing yang bertindak mengumpul sukarelawan untuk bersama saya menyelamatkan kucing gelandangan," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi