Semangat Lebaran Kita: Artis Astro meriahkan Ramadan bersama penduduk PPR Desa Tun Razak
Astro Awani
April 10, 2022 20:13 MYT
April 10, 2022 20:13 MYT
KUALA LUMPUR: Astro Kasih ESG, Yayasan Ikhlas dan McDonald's Malaysia mengambil keberkatan bulan yang mulia ini dengan bekerjasama meraikan Ramadan bersama 250 penghuni komuniti PPR Desa Tun Razak di ibu negara baru-baru ini.
Selain menceriakan suasana, kolaborasi bersama ini bertujuan untuk membantu para penduduk meraikan Ramadan dengan lebih bermakna sejajar dengan slogan Kempen Ramadan Astro iaitu ‘Semangat Lebaran Kita’.
Astro Kasih ESG turut menyediakan bahan-bahan keperluan asas seperti beras, gula, bihun, biskut, minuman berkhasiat dan kurma untuk setiap keluarga di komuniti tersebut.
Manakala pihak Yayasan Ikhlas memberikan wang sumbangan RM100 kepada setiap isi rumah.
McDonald's Malaysia turut memberikan sumbangan RM10,000 kepada Yayasan Ikhlas untuk membantu Yayasan Ikhlas melakukan aktiviti sepanjang bulan Ramadan kali ini.
Turut memeriahkan suasana acara tersebut adalah kehadiran artis-artis yang mewakili Kempen Ramadan Astro iaitu Nadhir Nasar, Yaya Zahir, Erissa Puteri, Idris Brown, Putera Madam, Padel Madam, Timah dan Syazwan Shuhaimi serta pelakon Lisa Surihani.
Program ini turut menyaksikan pengagihan bubur lambuk, pemberian sumbangan dan sesi beramah mesra bersama komuniti PPR Desa Tun Razak.
Bantuan yang diberi diharapkan dapat mengurangkan serba sedikit beban yang dihadapi komuniti PPR Desa Tun Razak dalam menyambut bulan Ramadan dengan lebih sempurna.