"Semalam nampak sihat", baru disahkan COVID-19, bapa AG meninggal dunia

Gempak
Februari 19, 2022 14:32 MYT
Paling menyedihkan, AG tidak sangka ulang tahun kelahiran arwah awal bulan ini, menjadi sambutan terakhir buatnya. - Astro Gempak
PENYAMPAI radio, AG Azmeer terkejut apabila dapat tahu bapanya, Selamat Ipan meninggal dunia ketika tidur, kira-kira jam tiga pagi tadi akibat COVID-19.
AG Azmeer atau nama sebenar, Muhammad Azmir Selamat memberitahu, arwah yang baru menyambut hari lahir ke-76 pada 2 Februari lalu, menghembuskan nafas terakhir kediamannya di Johor Bahru, Johor.
"Saya dapat tahu arwah bapa positif COVID-19, semalam. Keluarga bawa arwah ke klinik untuk pemeriksaan lanjut.
"Petang semalam saya masih berpeluang membuat panggilan video dengan arwah untuk mengambil tahu perkembangan kesihatannya.
"Ketika itu, arwah tampak sihat seperti tiada apa-apa yang mencurigakan. Pagi tadi, saya dikejutkan panggilan dari kampung, bapa sudah tiada," katanya kepada BH Online.
Paling menyedihkan, AG tidak sangka ulang tahun kelahiran arwah awal bulan ini, menjadi sambutan terakhir buatnya.
"Ketika itu, saya, isteri dan lima anak pulang ke Johor Bahru untuk meraikan hari lahir ayah.
"Isteri saya sempat memasak juadah kegemarannya, kuah dal," katanya.
AG Azmeer berkata, arwah bapanya adalah bekas Timbalan Pengarah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor.
"Arwah sangat mesra, peramah, baik dan disenangi orang.
"Kalau sebut nama Haji Selamat JPJ mesti orang tahu," katanya yang masih menunggu butiran urusan pengebumian arwah bapanya.
Allahyarham Selamat meninggalkan seorang balu, dua anak dan tujuh cucu.
#AG azmeer #bapa meninggal dunia #COVID-19 #kesihatan
;