Selit potongan hadis dalam lagu pertunjukan baju dalam, Rihanna mohon maaf
Asyraf Roslan
Oktober 7, 2020 16:30 MYT
Oktober 7, 2020 16:30 MYT
PENYANYI Rihanna mendapat keceman teruk daripada komuniti Islam seluruh dunia selepas dia didapati menggunakan lagu yang mengandungi potongan hadis dalam pertunjukan fesyen Savage X Fenty 2020 minggu lalu.
Rihanna yang popular dengan lagu, Diamonds itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen selepas menggunakan lagu Doom oleh Coucou Chloe yang merangkumi hadis untuk pertunjukan koleksi baju dalam.
Rihanna tidak menunggu lama terus membuat permohonan maaf di laman Instagramnya.
Menurut penyanyi yang kini juga merupakan seorang usahawan kosmetik, dia sangat berterima kasih kepada mereka yang membangkitkan isu tersebut.
"Saya nak berterima kasih kepada komuniti Islam yang telah membangkitkan isu ini.
"Kami faham kami telah melukakan hati ramai saudara-saudara Islam, penggunaan lagu itu di dalam pertunjukan tersebut sangat-sangat tidak bertanggungjawab," katanya.
Rihanna turut memberi jaminan bahawa perkara tersebut tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang.
Pada masa sama, laporan media antarabangsa turut melaporkan bahawa, Coucou Chloe yang menghasilkan lagu tersebut turut meminta maaf, dengan mengatakan dia tidak menyedari bahawa lagu itu mengandungi ayat-ayat yang diambil dari hadis Islam.