Selepas Sumandak Sabah, Marsha dan Velvet bakal muncul dengan lagu Aramaitiii
Astro Awani
April 14, 2022 13:56 MYT
April 14, 2022 13:56 MYT
KOTA KINABALU: Empat tahun lalu, dunia muzik tanah air digegarkan dengan fenomena lagu Sumandak Sabah yang didendangkan dua penyanyi kelahiran Negeri Di Bawah Bayu, Marsha Milan Londoh dan Velvet Aduk.
Keunikan melodi dan lirik yang ditulis dua penyanyi itu bukan sahaja menjadi siulan masyarakat, malah ia terbukti menjadi sebuah lagu yang sesuai ‘dilabel’ sebagai lagu yang mempromosikan negeri Sabah.
Malah lebih membanggakan lagu yang dikeluarkan Bornaya Records itu berjaya mencapai jumlah tontonan melebihi 15 juta setakat ini.
Bukan setakat Sumandak Sabah, duo dinamik itu turut muncul dengan beberapa lagi single antaranya Oi Gaman dan Insan Tadau.
Meneruskan keserasian dalam karya, mereka bakal muncul dengan satu lagu ‘masterpiece’ berjudul Aramaitiii yang didedikasikan khas terhadap semangat muafakat di Sabah yang terus kukuh sehingga kini.
Menerima tajaan daripada syarikat Qhazanah Sabah Berhad, Marsha dan Velvet menyifatkan usaha berterusan berkenaan adalah untuk terus mengangkat nama dan budaya Sabah di seluruh dunia.
“Sepanjang empat tahun ini, kami bergerak sendiri dan bekerja-keras atas dasar cinta mendalam terhadap budaya di Sabah. Kami mahu nama dan budaya Sabah diangkat lebih megah bukan setakat di Malaysia, tapi seluruh pelosok dunia.
“Walaupun tanpa sokongan mana-mana perbadanan mahupun organisasi sebelum ini, kami kekal teruskan keghairahan demi perjuangan itu. Meskipun mendapat tajaan di saat-saat akhir untuk Aramaitiii, kami tak henti panjatkan kesyukuran terhadap kepercayaan Qhazanah Sabah Berhad,” kata mereka.
Ketika mengulas mengenai tajuk lagu Aramaitiii, mereka berkata terma berkenaan sememangnya tidak asing dan sering dilaungkan rakyat Sabah bahkan sudah dikenali di seluruh Malaysia.
“Semangat bermuafakat yang wujud di Sabah sejak dulu menjadi tunjang penting perpaduan terus kukuh. Kami mahu tonjolkan itu dalam lagu serta muzik video Aramaitiii sehingga mesejnya mampu diserap sesiapa juga dari seluruh dunia.
“Kami memang berkeras memilih terma Aramaitiii yang cukup dekat di hati rakyat Sabah tanpa berfikir dua kali. Biarlah lirik ‘aramatiii’ itu diulang-ulang dan jadi cogan kata, paling penting mesej itu sampai serta menyentuh hati setiap pendengar,” tambah mereka.
Bagi penghasilan muzik video lagu ini, Marsha akan bertindak sebagai pengarah bagi keseluruhan projek tersebut.
Ia bakal melibatkan tenaga kerja seramai 26 kru melibatkan rakan-rakan serta ahli keluarga dan penggambaran akan dijalankan di Tambunan.
Lebih menarik, mereka turut menggunakan khidmat penata gaya tersohor Saerah Ridzuan dari Hello Stylar.
Saerah pernah memenangi anugerah Kostum Terbaik di Anugerah Muzik Video Antarabangsa di United Kingdom, tahun lalu.