Selepas lebih 20 tahun, Borhan si Keluang Man bakal kembali
Ridauddin Daud
Mei 23, 2022 16:47 MYT
Mei 23, 2022 16:47 MYT
KUALA LUMPUR: “Dia…bagai seorang pahlawan.
“Menjadi pembela, pada yang tiada upaya…”
Kanak-kanak yang membesar sekitar tahun 1990-an pasti biasa dengan lagu tersebut malah sehingga mereka sudah dewasa, lagu itu sebenarnya masih dekat di hati mereka.
Itu adalah lagu dendangan Krisya, lagu rasmi animasi tempatan yang popular satu masa dahulu, Keluang Man.
Selepas lebih dua dekad, siri animasi legenda Malaysia yang menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat tempatan bakal diangkat ke layar perak.
Penerbit dan peneraju industri perfileman tanah air, Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd baru-baru ini.
Kerjasama itu adalah untuk menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.
Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kerjasama itu menjadi titik permulaan buat Astro Shaw dan Iconic Animation Studio memperkenalkan semula animasi adiwira legenda itu kepada generasi baharu.
“Kami percaya jenama Keluang Man amat besar dalam industri seni animasi tempatan dan mempunyai peminat tersendiri yang membesar bersama siri animasi ini.
“Meskipun jenama ini telah lama disiarkan, namun apabila ia diulang tayang selepas 10 tahun kemudian, ia masih mendapat sambutan baik dan itu membuktikan animasi adiwira ini mampu meninggalkan kesan di hati penonton dan sentiasa relevan mengikut peredaran zaman.
“Kami harap berita baik ini dapat memberi keterujaan buat peminat dan sekali gus dapat membuktikan karya animasi tempatan mampu diangkat ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Keluang Man merupakan siri animasi popular dan diminati ramai pada akhir tahun 90-an dan awal 2000 dan merupakan siri animasi adiwira pertama tanah air.
Animasi itu diilhamkan Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Kamn Ismail bersama pengasas dan Pemilik UAS Animation, Natashah Md Noor dan pertama kali disiarkan pada tahun 1998.
Disiarkan sebanyak tujuh musim dengan lebih 140 episod, Keluang Man menampilkan jalan cerita unik, mempamerkan adiwira yang diinspirasikan oleh keluang dan turut diselitkan dengan elemen komedi.
Watak Borhan yang juga Keluang Man ialah seorang pesakit di sebuah hospital mental di Tumpoi dan berubah menjadi adiwira bagi membanteras jenayah pada waktu malam dengan bantuan rakannya, Tiong Man.