Selepas kutip RM96 juta di China, kisah epik 'On Your Mark' kini di Astro First

Madiha Abdullah
Ogos 30, 2021 22:12 MYT
On Your Mark arahan Chiu sudah mula ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 26 Ogos 2021.
KUALA LUMPUR: Tiada ibu bapa yang mahu melihat anaknya menderita namun ada kalanya pengorbanan itu perlu, apatah lagi apabila yakin ada sesuatu yang mampu dibuktikan si anak.
Itu antara inti pati filem On Your Mark arahan pengarah prolifik, Chiu Keng Guan, yang baru-baru ini menempa sejarah apabila muncul salah sebuah filem box office semasa tayangan di China, dengan kutipan kira-kira RM96 juta.
Sentuhan Chiu jelas kelihatan pada seluruh filem, mewarnainya dengan nuansa emosi, budaya dan keharmonian masyarakat.
Diinspirasikan daripada kisah benar, pengarah berjaya menerapkan elemen perpaduan, keluarga, persahabatan dan semangat patriotisme dengan latar belakang maraton, salah satu sukan paling popular di China.
On Your Mark mengisahkan tentang seorang anak muda, Xiao Erdong bercita-cita untuk menjadi pelari maraton seperti ibunya.
Namun, cita-citanya dihalang oleh bapanya Xiao Daming kerana tidak mahu melihat anaknya kecewa mengenangkan Xio Erdong berkemungkinan mewarisi sindrom buta seperti ibunya yang telah meninggal dunia.
Namun, Xiao Erdong curi-curi melihat dan berlatih di luar padang tanpa pengetahuan bapanya. Bagaimanapun, ketika cuba melayakkan diri dalam pertandingan, Xio Erdong telah terjatuh dan mimpi ngeri bapanya menjadi keyataan apabila Xio Erdong disahkan buta.
Kisah Xiao Erdong mengingatkan kita kepada nama-nama besar dalam arena sukan seperti Thomas Panek dan David Brown, kedua-duanya adalah pelari cacat penglihatan.
Namun ia bukan penghalang kerana mereka membuktikan dengan kesungguhan, ada tempat untuk mereka menempa kejayaan.
Hari ini, Panek, 50, yang juga CEO Guiding Eyes for the Blind, mencatat sejarah sebagai pelari buta pertama yang menyelesaikan half marathon bersama guide dog, manakala Brown, 28, merupakan pelari buta pertama yang berjaya menghabiskan larian 100 meter dengan catatan bawah 11 saat.
Bagi Chiu, mengabadikan kisah sehebat Xiao Erdong bukan tugas mudah, namun bangga dengan hasil dan mesej yang disampaikan.
"Jika karya-karya saya sebelum ini menyelitkan budaya Malaysia, tetapi kali ini sedikit berbeza di mana ia menonjolkan budaya masyarakat di Chongqing, China.
"Mesej utama yang saya ingin sampaikan dalam filem ini adalah pengorbanan dan semangat yang saya percaya ia amat dekat dengan kita semua.
"Bagi saya, dengan berusaha menghasilkan filem yang baik, ia mampu membawa kita tahap yang lebih tinggi," katanya yang sebelum ini sudah mengarahkan beberapa filem box office tempatan seperti Ola Bola dan The Journey.
Sementara itu, Astro Shaw berbangga membawakan satu lagi hasil karya epik Chiu untuk tayangan peminat di Malaysia.
"Bersesuaian dengan tema merdeka Astro tahun ini, iaitu ‘Kita Teguh Bersama’, di mana filem On Your Mark mempunyai elemen penghayatan yang cukup mendalam tentang semangat juang dan prihatin terhadap insan tersayang.
"Kami harap, filem ini turut dapat mencipta kejayaan tersendiri di sini serta kejayaan Chiu Keng Guan di China mampu memberi inspirasi kepada pengkarya tempatan untuk terus menghasilkan filem-filem berkualiti,” kata Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad.
On Your Mark sudah mula ditayangkan di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 26 Ogos 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
#On Your Mark #Malaysia #Merdeka #Astro First
;