Selepas kejayaan konsert Yunaverse, Yuna bakal hiburkan peminat di Supalapa Festival
Gempak
Februari 29, 2024 19:42 MYT
Februari 29, 2024 19:42 MYT
PENYANYI Yuna melahirkan rasa teruja untuk membuat persembahan di Supalapa Festival yang bakal berlangsung selama dua hari pada 2 dan 3 Mac ini di Resorts World Awana, Genting Highlands.
Diberi masa selama satu jam untuk menghiburkan peminat, Yuna memberitahu persembahan itu juga merupakan kesinambungan konsert Yunaverse yang diadakan pada tahun lalu.
“Untuk festival nanti, saya diberi masa satu jam untuk persembahan. Sebenarnya, show ini kesinambungan show Yunaverse pada tahun lalu. Ada beberapa lagu yang sama dengan set waktu itu.
“Tapi sebab set masa untuk festival ini pendek sikit sebab festival, kan? Jadi, kita cuba untuk memampatkan show itu menjadi satu jam persembahan. Ada penari, saya akan nyanyi lagu lama dan baharu.
“Akan ada banyak benda yang menarik dan saya sangat teruja nak membuat persembahan untuk peminat Malaysia lagi sekali,” katanya kepada Gempak.
Lebih 40 bintang antarabangsa bersama karyawan tempatan dengan pelbagai genre muzik dan hiburan tanpa had dihimpunkan sepanjang tempoh penganjuran sulung Festival Supalapa.
Tiësto, The Kid Laroi, EAJ, Somi, XG, Ali Gatie, Armani White, Tones and I, Ian Asher, Keemokazi, Paul Van Dyk, Rave Republic, Notep antara lebih 40 nama bintang ternama antarabangsa yang sedia menanti peminat pada festival yang berlangsung selama dua hari ini.
Bersama mereka, bintang tempatan Yuna, Siaxse, Kidd Santhe, Talitha, Cluadia, Belle Sisoski,Jovynn, Coex, Forceparkbois & DJ Ziqq Axel Groovejuga siap membuat pengunjung teruja dengan persembahan mereka.
Di Festival Supalapa ini, pengunjung yang hadir boleh menikmati tiga genre muzik sekali gus dari EDM, Pop dan K POP.
Kesemua genre muzik ini kemudian dipersembahkan dalam panggung masing-masing iaitu di Live Stage, EDM Stage dan Pool Stage.
Tidak cukup lagi, acara ini bukan sekadar hiburan berkaitan muzik tetapi di Festival Supalapa pengunjung akan melalui banyak pengalaman perdana kali yang tidak didapatkan dalam acara hiburan sebelum ini.
Di Festival Supalapa, melalui pembayaran secara sistem RFID yang pertama kali seumpamanya, pengunjung berhak menikmati pelbagai keseronokan termasuk pengalaman di Wrestling Ring, Bali Swing, Carnival Games dan Silent Cinema. -Gempak