Selepas hujan pasti ada pelangi, Naim Daniel harap rakyat Malaysia terus tabah
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 19, 2021 12:50 MYT
Januari 19, 2021 12:50 MYT
TAHUN 2021 adalah tahun untuk meneruskan kekuatan dalam mendepani cabaran susulan pandemik COVID-19.
Demikian disifatkan penyanyi muda, Naim Daniel, yang yakin, rakyat Malaysia terutamanya pemain industri hiburan, perlu terus tabah kerana "selepas hujan, pasti ada pelangi".
“Tahun 2021 ini adalah tahun untuk kita semua teruskan kekuatan kita. Saya percaya kepada semua rakyat Malaysia. You guys are a fighter.
“Kita semua ketika ini sedang berperang demi kelangsungan hidup. Dan itu yang membuatkan kita kuat hari ini.
“Saya memohon agar anda semua terus tabah kerana selepas hujan pasti ada pelangi. Saya berharap semua tabah dalam memastikan kewarasan masing-masing,” katanya.
Naim ditemu bual dalam segmen Selebriti Selasa menerusi AWANI Pagi yang membincangkan berkenaan survival artis muda ketika pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada masa sama, Naim turut berkongsikan perancangannya tahun ini untuk menjadualkan semula segala yang tergendala tahun lepas.
“Untuk tahun ini kita cuba merencanakan kembali perancangan 2020 yang terpaksa ditunda.
“Saya sepatutnya melancarkan album baharu tahun lepas, dengan 10 lagu baharu, tetapi terpaksa tunda kerana PKP.
“Jadi, saya mensasarkan untuk lancarkan album itu, dan lebih banyak lagi, menjelang pertengahan tahun ini, kerana saya tidak mahu lanjutkan lebih lama," ujarnya yang jelas sangat teruja untuk berkongsi albumnya itu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai cabaran dalam tempoh sukar ketika ini, katanya ia bukan halangan untuknya mencuba peluang baharu dengan kemahiran baharu.
Tonton temu bual penuh bersama Naim Daniel dan Aina Abdul dalam segmen Selebriti Selasa menerusi AWANI Pagi di bawah.