Selepas fasa berkurung, XPDC 'mengamuk' di Tawau, Pulau Pinang

Raja Hisyam Raja Zaid
September 7, 2022 09:31 MYT
Konsert XPDC di Tawau mendapat sambutan hangat peminat. - Gambar XPDC
SEBUT saja nama kumpulan XPDC pasti hampir semua peminat muzik rock tanah air kenal dan mengakui sudah lama tidak melihat kelibat empat anggotanya beraksi ligat di pentas.
Apatah lagi sejak pandemik COVID-19 melanda, ditambah era kegemilangan rock kapak yang semakin perlahan bagi memberi laluan kepada genre muzik lain ketika ini, tentunya kerancakannya tidak sama seperti era 80 dan 90-an.
Itu fitrah dan ketetapan peredaran zaman yang semua artis pasti merasainya dalam industri muzik seluruh dunia termasuk Malaysia.
Namun ia tidak bermakna kegilaan dan obsesi terhadap muzik rock dalam jiwa peminatnya akan berkubur, sekalipun dunia berputar begitu pantas.
XPDC yang sinonim dengan genre heavy metal misalnya, walaupun agak lama tidak beraksi namun sebaik sekatan pergerakan ditarik, curahan tawaran mengadakan konsert diterima.
Baru-baru ini, XPDC dan peminatnya di Tawau, Sabah seakan 'membalas dendam’ apabila lebih 15,000 membanjiri Dataran Bandar Sri Indah bersempena Konsert Malam Merdeka.
Manakan tidak, kali terakhir XPDC ke Sabah adalah pada 1991 dan tentunya peminat tegar mereka menantikan Mael dan rakan-rakannya beraksi.
Walaupun rata-rata umur anggota XPDC sudah menjangkau ‘lima siri’ kecuali Jeff, lantunan rentak muzik dan kelincahan yang ditampilkan mereka tetap bertenaga dan memukau peminat yang hadir.
Nyata masih ramai yang mengikuti perkembangan XPDC sekalipun jauh dari Kuala Lumpur.
Beberapa hari sebelumnya XPDC turut terlibat dengan Konsert 3 Generasi yang diadakan di Zepp KL yang menggabungkan XPDC, Spider dan Noh Hujan atas satu pentas.
Selepas beraksi hebat di Sabah, momentum yang sama diteruskan lagi oleh XPDC apabila hampir 13,000 hadir di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang Ahad lalu.
Dua jam persembahan Mael, Zuar, Amy dan Jeff nyata tidak menghampakan peminat mereka.
Menjengah usia 53 tahun, vokalisnya Mael ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini, mengakui masih lagi tidak penat meneruskan perjuangan dalam industri muzik tanah air walaupun kesihatan tidak menentu.
“Dengan faktor usia yang macam ini kita tak boleh nak janji apa-apalah tapi syukur Alhamdulillah setakat ni kita boleh kekal seperti biasa. Harap tak ada apa-apa yang menakutkanlah,” katanya yang ditemui pada Konsert 3 Generasi baru-baru ini.
Menurut Pengurus XPDC, Yazid pula, tawaran yang diterima selepas negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik adalah di luar jangkaan.
“Tawaran daripada penganjur boleh dikatakan berganda dan dalam suasna sekarang agak berlainan kerana peminat mula mahu melepaskan rindu untuk menyaksikan XPDC secara live dalam konsert.
“Ketika dilanda COVID-19 memang terlalu suram namun ketika ini kebanyakan penganjur yang tak pernah kita kenalpun datang untuk membuat tawaran konsert,” jelasnya.
Ditanya samada XPDC mempunyai hajat untuk merancang pembikinan album baharu, Yazid menjelaskan kemungkinan itu bergantung kepada keadaan memandangkan ketika ini terlalu jarang syarikat yang mengeluarkan album untuk artis.
Mael pula menjelaskan, XPDC tidak menolak jika ada syarikat atau mana-mana pihak yang mahu menawarkan pembikinan album baharu.
Tetapi katanya, kesesuaian industri ketika ini lebih menjurus kepada single sahaja dan rata-rata peminat XPDC sentiasa mahu dan rindukan lagu-lagu lama yang pernah menambat hati mereka di era 90-an dahulu.
“Lagipun bukan musim buat album sekarang ini dan lebih praktikal untuk buat single sahaja.
“Kalau tengok daripada respons peminat pun mereka lebih memilih lagu-lagu top XPDC yang lama untuk dipersembahkan pada setiap konsert yang diadakan,” kata Mael lagi.
#XPDC #konsert #kerinduan peminat #Mael
;