Selepas Dira, giliran Azwan Ali pula tempelak Fathia Latiff
Gempak
Disember 14, 2017 09:05 MYT
Disember 14, 2017 09:05 MYT
KELANTANGAN Azwan Ali dalam berhujah tentang sesuatu perkara memang tidak dapat disangkal lagi.
Terbaharu, pengacara yang terkenal dengan gelaran Diva AA ini dilihat memberi nasihat kepada pelakon muda, Fathia Latiff, yang dianggap masih ‘hijau’ dan belum sampai ke tahap yang ‘layak’ untuk dia menyuarakan pendapat.
Menurut Azwan, tidak salah untuk seorang selebriti itu melontarkan kata-kata pendapat mahupun bersuara, namun biarlah berpada-pada.
“Dia (Fathia) siapa? Siapa pelakon Malaysia yang hebat? (Contohnya) Erra Fazira lah. Ini Erra Fazira yang primadona itu pun diam saja.
“Saya bukan dengki dengan dia tapi bukan masa dia nak bercakap, dia budak baru sangat. Ke dia nak cari populariti?” katanya dipetik mStar Online.
Dalam pada itu, Azwan sempat juga menasihati Fathia yang disifatkan ‘masih hingusan’ itu agar lebih menumpukan fokus terhadap kerjaya lakonan berbanding ‘menyalak’ berkaitan politik.
“Itulah kau dik, bak kata Dira, pergi belajar berlakon, kan? Kau sibuk nak perjuangkan politik. Lepas itu kau meroyan bising dapat peluru. Pergi buat Bigo Live lah bahagian dua,” sindir Azwan.
Azwan berkata demikian bagi menyindir kenyataan Fathia sebelum ini mendakwa ada individu tidak dikenali bertindak membaling rantai dan mengugut untuk mencederakan dirinya tanpa sebarang sebab yang pasti.
Terdahulu, Exco Puteri UMNO dan pelakon, Dira Abu Zahar turut menyelar Fathia dalam ucapannya sewaktu Perhimpunan Agung UMNO ke-71 yang berlangsung di PWTC, pada Rabu minggu lalu.
#Azwan Ali
#Dira Abu Zahar
#Fathia Latiff
#hiburan
#hingusan
#pelakon muda
#pendapat
#politik
#sindir
#ugut