Selepas dikritik, poster pementasan 'Don't Let Usman Awang Know' diubah
Astro Awani
Julai 8, 2019 18:40 MYT
Julai 8, 2019 18:40 MYT
SELEPAS mendapat kritikan, penganjur pementasan “Don’t Let Usman Awang Know" membuat reka bentuk baharu poster promosi persembahan tersebut dengan meletakkan versi bahasa Melayu, "Jangan Beritahu Usman Awang."
Perkara itu dikongsikan waris Sasterawan Negara Usman Awang, Haslina Usman di akaun Facebooknya.
"Terima kasih Dato’ Faridah Merican dan semua yang terlibat memperbetulkan isu poster pementasan penghormatan untuk arwah SN Usman Awang.
"Kami warisnya amat menghargai usaha semua yang terlibat," tulis Haslina.
Haslina sebelum ini meluahkan rasa kecewa dengan reka bentuk poster iklan yang dakwanya seolah meminggirkan Bahasa Melayu.
Pandangan sama turut disuarakan Persatuan Penulis Nasional (Pena) yang membantah ketiadaan Bahasa Melayu dalam poster pementasan itu.
Pementasan "Jangan Beritahu Usman Awang" dijadual berlangsung di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) dari 11 hingga 14 Julai ini.