Selepas ayah, ibu Irwansyah pula meninggal dunia akibat COVID-19
Agensi
Ogos 4, 2021 20:27 MYT
Ogos 4, 2021 20:27 MYT
JAKARTA: Belum hilang duka dan kesedihan kehilangan ayah, Umar Efendi akibat COVID-19 pada 8 Julai lalu, hari ini, pelakon dan penyanyi terkenal Indonesia, Irwansyah terpaksa melepaskan ibunya pula, Herlianah.
Herlianah dilaporkan menghembuskan nafas terakhir selepas beberapa minggu bertarung nyawa di hospital.
Berita sedih itu dikongsi oleh isteri Irwansyah, Zaskia Sungkar dalam akaun Instagramnya.
“Kumpul di Syurga Insya-Allah ya Ma. Allahummagfir laha warham ha wa’aafi ha wa’fu anha,” tulisnya.
Irwansyah dalam wawancara di saluran YouTube, The Sungkars Family memberitahu, ibunya yang sebelum ini koma sempat sedar ketika diperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran.
“Ketika diperdengarkan bacaan murattal, tiba-tiba mama bangun membuka matanya. Mama memberi isyarat mengatakan yang dia masih hidup,” kata penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pencinta Wanita itu lagi.
Allahyarham ibu dan ayah Irwansyah dikenali sebagai pasangan yang sangat romantik dan merupakan penyokong kerjaya seni anak mereka.
Irwansyah juga sebelum ini disahkan positif COVID-19 dan menjalani kuarantin kendiri.