Selepas 60 tahun berlakon, ini kali pertama A Galak terima anugerah

Astro Awani
Disember 8, 2024 09:15 MYT
Menurut A Galak, Anugerah Khas Sepanjang Zaman yang diberikan kepada beliau oleh penganjur FFM33 iaitu Finas merupakan yang pertama diraihnya sepanjang 60 tahun menjadi anak wayang. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Hati kecil sesiapa sahaja yang menonton Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33) malam tadi pasti akan terusik apabila mendengar kenyataan jujur yang keluar dari mulut pelakon veteran A Galak.
Menurut A Galak, Anugerah Khas Sepanjang Zaman yang diberikan kepada beliau oleh penganjur FFM33 iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) merupakan yang pertama diraihnya sepanjang 60 tahun menjadi anak wayang.
"Ini anugerah pertama selepas 60 tahun sejak mula berlakon di Studio Jalan Ampas," kata seniman berusia 84 tahun itu, malam tadi.
Perjalanan seni yang panjang dilalui aktor berjiwa besar itu bukan calang-calang.
A Galak atau nama sebenarnya Zakaria Ahmad rupa-rupanya memulakan kerjaya seninya ketika era kegemilangan Allahyarham Tan Sri P Ramlee lagi.
Justeru, kata beliau, ramai yang hairan kenapa beliau yang juga dikenali sebagai 'Sarjan Misai' ini mengenali ramai pelakon di Shaw Brothers.
"Saya mula berkerja ketika berusia 19 tahun sampai studio itu ditutup pada 1967. Kemudian, saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan berlakon di sini,” kongsi beliau lagi.
Selain masyhur dalam puluhan filem lakonannya seperti Azura, Darah Satria dan Bayangan Maut, A Galak juga merupakan nama yang sangat sinonim dengan karya-karya terbitan Skop Productions Sdn Bhd yang diasaskan oleh pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam.
Kata A Galak, bersama Skop Productions sahaja, beliau sudah berlakon dalam lebih 1,000 episod drama kepolisan terbitan syarikat itu selama 40 tahun.
"Dengan Skop Productions saja saya dah terbabit lebih dari 1,000 episod drama TV khususnya kepolisan dan juga beberapa filem di bawah arahan Yusof Haslam.
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih saya kepada semua orang yang memberi peluang kepada saya. Budi kalian akan saya kenang sehingga akhir hayat," kata beliau semasa berucapa selepas menerima anugerah itu daripada Yusof yang disifatkan sebagai sahabat karibnya.
#A Galak #Sarjan Misai #Festival Filem Malaysia #Anugerah Khas Sepanjang Zaman
;