Selepas 20 tahun bersama Victoria's Secret, Adriana Lima 'gantung sayap'
Agensi
November 10, 2018 21:17 MYT
November 10, 2018 21:17 MYT
SELEPAS 20 tahun dan memperaga dalam 18 pertunjukan fesyen bersama Victoria's Secret, supermodel Adriana Lima, 37, melalui runway buat kali terakhir dalam pertunjukan pada malam Khamis lalu.
Terdahulu pada sebelah siang model kelahiran Brazil itu mengumumkan persaraannya sebagai model Victoria's Secret, yang dikenali sebagai Victoria's Secret Angels, di akaun Instagram.
Pertunjukan itu memberi penghormatan istimewa kepada Lima, dengan memaparkan montaj klip video dari momen pertunjukan sebelum ini. Video itu berakhir dengan mesej terima kasih daripada Lima sebelum dia memulakan catwalk terakhirnya.
Lima memberitahu portal People bahawa momen terakhirnya melakukan catwalk itu menjadi kenangan paling istimewa selepas 20 tahun bersama rumah fesyen itu.
"Ini adalah catwalk ke-19 dan saya masih teruja seperti hari pertama. Saya seronok berada di runway dan menjadi sebahagian daripada keluarga Victoria Secret," katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata itu juga mendedahkan perancangannya selepas ini, iaitu untuk memberi tumpuan kepada projek amal dan pemerkasaan wanita.
"Saya tidak sabar untuk bekerja dengan wanita-wanita hebat di seluruh dunia," katanya tanpa mendedahkan dengan terperinci perancangan tersebut.