Selepas 16 tahun, Cik Kiah buat rombongan ke Kelana Jaya pula

Gempak
Oktober 21, 2014 18:05 MYT
Selepas 16 tahun, Cik Kiah buat rombongan ke Kelana Jaya pula
Masih ingatkah lagi Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel pada tahun 1998 sempena Sukan Komanwel yang berlangsung pada tahun tersebut?
Kali ini selepas 16 tahun, pengarahnya Mamat Khalid kembali dengan Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya pula.
Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya berkisarkan tentang rombongan menghantar Encik Isnin ke Kelana Jaya menunaikan ibadat haji yang dikendalikan Cik Kiah.
Ia bakal menemui penonton di Astro First Eksklusif bermula 23 Oktober ini menerusi saluran 480. Ia juga dapat ditonton menerusi Astro On The Go pada kadar RM15.
Mamat akui telefilem ini mempunyai cabaran tersendiri. Katanya, idea dan skrip sudah lama dalam fikirannya, tetapi baru kini dapat direalisasikan.
"Hampir dua dekad jarak antara dua telefilem ini, saya harus bijak mencari ruang dan sisi tersendiri untuk disuntik dalam karya kali ini.
"Saya masih kekalkan eleman dalam Rombongan Cik Kiah sebelum ini, tetapi cerita dan lawak jenakanya relevan pada era ini," katanya.
Katanya, niat menghasilkan sekual Rombongan Cik Kiah sudah lama, tetapi disebabkan sibuk dengan filem maka penghasilan Rombongan Cik Kiah terpaksa ditunda buat sementara waktu.
"Apabila timbul niat menghasilkannya, saya harus fikirkan isu, jenaka dan pelakon yang relevan dengan keadaan kini. Adakah cerita ini sesuai dengan penonton pada masa kini? Itu antara persoalan yang bermain dalam fikiran saya.
"Saya rasa antara isu paling dekat dengan masyarakat adalah ibadah Haji. Sebab itu saya mengambil pendekatan menggunakan cerita rombongan Cik Kiah menghantar jemaah haji ke Kelana Jaya sebelum mereka berlepas ke Tanah Suci Makkah menunaikan Rukun Islam kelima untuk kisah kali ini," kataya.
Kata Mamat, babak dimuat-kan dalam filem itu banyak berkisarkan mengenai dirinya serta dari pengalaman orang di sekelilingnya. Setiap watak diwujudkan kali ini mempunyai peranan masing-masing.
Mamat akui tayangannya agak lewat selepas umat Islam merayakan Aidiladha dan rombongan jemaah haji ke Makkah juga hampir pulang.
“Pembikinannya sudah lama siap dan hanya menunggu giliran untuk ditayangkan. Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya perlu menanti tayangan Biopic Saloma selesai,” ujarnya.
Bijak mengolah jalan cerita, kehadiran pelakon yang menggerakkan dan mengembangkan naskhah itu membuatkan semua mereka tunjang utama dalam telefilem ini.
Persamaan antara Rombongan Cik Kiah sebelum ini dengan karya kali ini juga tetap terasa.
Masih mengekalkan Delimawati dan Man Kadir sebagai pelakon dalam sekuel ini, Mamat juga mengambil pelakon baru seperti Imuda, Hazwan Skool Of Lawak, Chacha Maembong dan Sharwani NS bagi menghiasi dan menjadi daya penarik untuk pelbagai peringkat umur.
Turut berlakon, Syuk SYJ sebagai pemandu bas yang membawa rombongan dari kampung di Perak ke Kelana Jaya.
Penggambaran telefilem ini dilakukan di Chemor, Perak dan Kelana Jaya, Selangor.
Rombongan Cik Kiah Ke Kelana Jaya bermula dengan Cik Kiah (Delimawati) yang mengendalikan rombongan untuk menghantar Encik Isnin (Man Kadir) ke Kelana Jaya menunaikan ibadat haji.
Dia mengikut agensi Tabung Haji manakala Encik Leman (Imuda) mengikut agensi pakej murah. Encik Leman berhadapan masalah apabila mengambil pakej haji murah dan tidak berwibawa apabila visanya tidak lulus ketika hendak berangkat ke Kelana Jaya.
Dalam pada itu, anak Encik Leman, Majid (Hazwan) ingin berkahwin dengan Nur Ain (Chacha), anak Encik Isnin tetapi Majid tidak berani menyuarakan hasratnya kerana orang tua mereka selalu bertengkar.
#Mamat Khalid #Rombongan Cik Kiah
;