Selena Gomez dedah alami gangguan bipolar
Agensi
April 4, 2020 20:30 MYT
April 4, 2020 20:30 MYT
ARTIS popular antarabangsa, Selena Gomez mendedahkan dia menghidap gangguan bipolar sewaktu sesi perbualan secara langsung bersama Miley Cyrus menerusi Instagram, pada Jumaat.
Dalam perbualan selama 20 minit itu, penyanyi Come and Get It itu berkata dia dimaklumkan tentang perkara tersebut selepas satu kunjungan ke sebuah hospital.
Gomez, 27 tahun, memaklumkan dia lebih berani selepas mengetahui keadaan dirinya.
"Apabila saya mengetahui lebih banyak maklumat, ia membantu saya untuk mengatasinya dan tidak lagi merasa takut," ujarnya.
Gomez sebelum ini pernah menjalani pemindahan buah pinggang akibat penyakit Lupus, sejenis penyakit berkaitan sistem pertahanan badan.
Dalam perbincangannya dengan Cyrus, Gomez berkata dia melihat sendiri situasi gangguan mental dalam kalangan anggota keluarganya.
"Saya dari Texas, satu lokasi di mana kesihatan mental tidak dibicarakan secara terbuka.
"Saya melihat bagaimana situasi ini akhirnya membentuk golongan anak muda yang memberontak.
"Saya faham situasi itu apabila saya melaluinya. Apa yang mereka mahukan bukanlah perhatian, tetapi penjelasan tentang apa sebenarnya masalah yang dihadapi. Itu sahaja," katanya.