Selebriti sembah takziah kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah
Hasimi Muhamad
Mei 22, 2019 12:19 MYT
Mei 22, 2019 12:19 MYT
Kemangkatan Sultan Pahang kelima, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah memberi kesan kepada seluruh rakyat di negara ini.
Antara yang turut menzahirkan sembah takziah terhadap pemergiaan sultan berjiwa rakyat itu adalah dalam kalangan selebriti tanah air.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan kemangkatan Almarhum Sultan Ahmad Shah merupakan satu kehilangan besar buat negara.
Bagi Siti Nurhaliza, kemangkatan Almarhum merupakan berita paling sedih bagi seluruh rakyat Malaysia khususnya di negeri Pahang.
“Patik dan suami mengucapkan dan menyembah salam takziah kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong,KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, seluruh kerabat dan keluarga DiRaja Pahang di atas kemangkatan Almarhum Paduka Sultan Hj Ahmad Shah AlMusta’in Billah.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Almarhum dan digolongkan dalam kalangan para solehin. Al-Fatihah,” kata beliau dalam entri Instagramnya.
Dalam pada itu, anak kelahiran Kuala Lipis itu turut berkata pengalaman beliau yang membuat persembahan di hadapan Almarhum Sultan Ahmad Shah juga tidak akan dilupakan.
“Sebagai rakyat Pahang yang berpeluang membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku sejak saya bersekolah rendah dan seterusnya menjadi artis, banyak kenangan yang bermakna dan akan saya ingati sampai bila-bila,” ujar Siti Nurhaliza.
Sementara itu, penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob juga mengambil peluang untuk menzahirkan sembah takziah kepada keluarga Diraja Pahang di atas kemangkatan Sultan Pahang kelima itu.
Kata Fazleey, kenangan bersama Almarhum Sultan Ahmad Shah ketika konsert Siti Nurhaliza di Royal Albert Hall, London, menjadi kenangan paling manis buat dirinya.
“Saya Fazlee Yaakob dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga Diraja Pahang dengan kemangkatan baginda Sultan Ayahanda Yang Dipertuan Agong.
“Saya tak akan lupa kenangan bersama Almarhum ketika saya mengendalikan Konsert Albert Hall di London. Saya sendiri yang menyerahkan surat dari Birmingham Palace untuk menyatakan bahawa baginda Sultan ketika itu dijemput untuk menghadiri dan menduduki Royal Box di Royal Albert Hall sempena konsert Datuk Siti Nurhaliza.
“Kata Almarhum ketika itu, ‘terus banggakan nama anak-anak Pahang’,” katanya kepada Astro AWANI.
Selain itu, penyanyi Datuk Hattan berkata, keakraban dan sikap rendah diri Almarhum Sultan Ahmad Shah membuatkan beliau begitu terkesan dengan pemergian baginda.
"Saya berasa sangat dukacita kerana saya rasa saya sangat dekat dengan Tuanku. Jadi saya rasa macam satu kehilangan yang besar kepada rakyat Pahang khususnya dan kepada anakanda-anakanda Almarhum, Yang Dipertuan Agong, saya juga mengambil kesemptan ini mengucapkan takziah di atas kemangkatan Almarhum paduka ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah," ketanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menerusi laman sosial, antara selebriti lain yang menzahirkan ucapan takziah adalah cef tersohor negara, Datuk Redzuan Ismail atau Chef Wan.
Sultan Haji Ahmad Shah mangkat hari ini pada jam 8.50 pagi, pada usia 89 tahun.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan sultan berjiwa rakyat itu menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
BACA: Terima kasih kerana menjadi datuk paling hebat - Puteri Afzan Shakira
#Chef Wan
#Datuk Hattan
#Fazley Yaakob
#konsert
#Pahang
#Siti Nurhaliza
#Sultan Ahmad Shah
#Sultan Ahmad Shah Mangkat
#Sultan Malaysia
#Sultan Pahang