Selebriti Hollywood dikritik promosi festival muzik Arab Saudi
Nailah Huda
Disember 24, 2019 12:46 MYT
Disember 24, 2019 12:46 MYT
SERINGKALI festival muzik dianjurkan di padang pasir California atau di bandar-bandar utama Eropah.
Namun kali ini, peminat muzik elektronik berkunjung ke Riyadh, Arab Saudi untuk menghadiri festival muzik MDL Beast yang disertai DJ terkenal seperti David Guetta dan Steve Aoki.
Antara yang mengunjungi festival itu termasuk bintang Hollywood seperti Irina Shayk, Scott Disick, Sofia Richie serta pelakon Armie Hammer dan Ryan Phillippe.
Namun begitu, kini bintang-bintang tersebut dikutuk kerana didakwa dibayar supaya bantu kerajaan Arab Saudi mengubah imej negara itu yang tercemar dengan pelbagai kontroversi.
Armie Hammer yang terkenal untuk lakonannya dalam The Man from U.N.C.L.E. menggambarkan pengalamannya di festival itu sebagai “satu peralihan kebudayaan”, menurut muat naiknya di Instagram.
Namun pengkritik pula melihat sambutan meriah itu seolah-olah mengabaikan penindasan yang berlaku di negara itu termasuk penglibatan kerajaan Arab Saudi dalam pembunuhan wartawan The Washington Post, Jamal Khashoggi.
Salah seorang pengkritik fesyen di Instagram, Diet Prada, mendakwa artis-artis tersebut menerima bayaran untuk mempromosikan festival itu bagi “memulihkan imej Arab Saudi”.
“Terima kasih @diet_prada mengemukakan hal ini. Saya merupakan pengarang kepada Jamal Khashoggi di Washington Post,” menurut satu komen yang ditulis oleh Karen Attiah.
Tambahnya, “Jamal percaya bahawa media sosial harus digunakan untuk kebaikan. Ia amat memalukan kerana aktivis dan pempengaruh di Arab Saudi sebaliknya dipenjarakan bawah Mohammed bin Salman.”
Sebaliknya, pelakon dan model Emily Ratajkowski pula menyatakan bahawa beliau menolak jemputan ke negara itu untuk menunjukkan sokongan kepada hak wanita, hak komuniti LGBT serta hak kebebasan media dan bersuara.
Dakwa pensyarah di Pusat Pengajian Arab dan Islam di Australian National University, Dr Raihan Ismail kepada akhbar The Guardian, Arab Saudi telah melabur berbilion dolar untuk mengubah imej mereka di negara-negara Barat.
“Kerajaan Saudi banyak melabur untuk memperbetulkan imejnya, terutamanya susulan insiden Jamal Khashoggi, wartawan warga Saudi yang dibunuh di konsulat Saudi di Turki,” kata Dr Raihan.
Katanya, pempengaruh yang mengunjungi negara itu menerusi program yang dibiayai kerajaan tidak akan dapat gambaran penuh.
“Sekiranya seseorang melawat Arab Saudi dan melihat perubahan positif di sana, terutamanya dalam kalangan rakyat Saudi yang lebih muda, pasti mereka akan fikir, ‘kerajaan Saudi semakin terbuka’.
"Namun, kita masih berdepan kerajaan yang kuat menindas rakyatnya,” kata Dr Raihan.
Namun begitu, bukan semua penganjuran acara muzik di negara itu dilayan sama rata.
Walaupun festival MDL Beast dipromosikan pada laman web rasmi pelancongan Arab Saudi, namun ‘Disko Halal’ yang pernah dibuka di Jeddah pada Januari lalu ditutup pada hari pertama operasi.
#Arab Saudi
#Armie Hammer
#David Guetta
#hiburan
#Hollywood
#Irina Shayk
#Jamal Khashoggi
#Ryan Phillippe
#Scott Disick
#Sofia Richie
#Steve Aoki